BALIK PULAU: Sebahagian jalan FT006 iaitu jalan mengelilingi pulau dari Jalan Balik Pulau ke Teluk Bahang, di sini ditutup sepenuhnya bermula 14 Julai lepas sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak berikutan hakisan tanah dan kegagalan cerun di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata hasil penyiasatan awalan di tapak oleh pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kegagalan cerun yang berlaku adalah disebabkan oleh hakisan tanah daripada taburan air hujan yang tinggi beberapa hari sejak 1 Julai lepas.

"Pada 1 Julai iaitu pada 7.15 pagi telah berlaku bencana kegagalan cerun di laluan FT006 Seksyen 46.80 di Balik Pulau dan pihak JKR mengambil langkah-langkah segera iaitu meliputi kerja pemasangan kanvas, pemasangan peralatan pengurusan trafik dan pengumpulan data.

"Aliran trafik pada ketika itu dibuka hanya satu lorong bagi kenderaan ringan, bagaimanapun ekoran kegagalan cerun kali kedua di laluan FT006 Seksyen 45.40 pada 10 Julai, maka pihak JKR telah mengeluarkan notis penutupan sebahagian jalan FT006 dari Jalan Balik Pulau ke Teluk Bahang sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata oleh sebab jalan itu merupakan jalan Persekutuan, maka permohonan segera telah dibuat kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia dan kelulusan telah diterima untuk kerja-kerja pembaikan di laluan FT006 Seksyen 45.40 dan Seksyen 46.80 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.7 juta.

Zairil berkata kerja-kerja pembaikan di kawasan berkenaan dijalankan dengan menggunakan kaedah Soilnail Tieback Wall bagi kedua-dua cerun yang telah runtuh.

"Skop kerja-kerja pembaikan meliputi Micropile, Soilnailing, Retaining Wall, Backfill, Drainage, Resurface dan Guardrail. Kerja-kerja ukur dan penyiasatan tanah (SI) juga sedang berjalan dan akan disiapkan dalam masa terdekat.

"Data SI yang diterima akan direka bentuk berdasarkan kepada keadaan semasa di tapak dan kestabilan cerun," katanya.

Beliau berkata selaras kerja-kerja kecemasan, kerja pembinaan akan terus dilaksanakan di tapak sejurus data dan reka bentuk siap serta tempoh kerja pembaikan itu dianggarkan selama tiga hingga empat bulan.

Beliau menasihati pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif lain sama ada melalui Jalan Tun Sardon ke Balik Pulau atau Jalan Teluk Kumbar ke Jalan Balik Pulau.

-- BERNAMA