MALAYSIA
Jalur Gemilang: 'Jangan bertindak jadi polis, peguam dan hakim' - Fahmi

Fahmi menegaskan sebarang aduan atau bukti perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: "Jangan bertindak menjadi polis, peguam dan hakim."
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan orang ramai tidak boleh bertindak sebagai polis, peguam atau hakim, sebaliknya perlu menyerahkan sebarang aduan berkaitan Jalur Gemilang atau kes jenayah kepada pihak berkuasa.
- Tindakan sendiri seperti menyebar maklumat peribadi, membuat tuduhan melulu atau menyerbu premis tanpa kuasa undang-undang adalah salah, dan boleh menjejaskan siasatan serta membawa implikasi undang-undang.
- Fahmi menyeru masyarakat agar menilai maklumat secara bijak, tidak terpengaruh dengan berita palsu atau spekulasi, dan memberi ruang kepada polis serta Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan secara telus.
"Kenyataan AG (Peguam Negara) itu menjadi peringatan kepada kita semua untuk tidak mengambil sikap vigilante, iaitu membuat tindakan di luar batas undang-undang terhadap mana-mana pihak.
"Serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan, serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk melakukan pendakwaan, dan serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan dalam sesuatu perkara.
"Jangan kita bertindak menjadi polis, peguam dan hakim... itu salah. Jangan ambil tindakan seperti itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2025 di Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu, di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Jabatan Peguam Negara pada Jumaat mengeluarkan kenyataan, mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam perbuatan tersebut.
Ia termasuk menyerbu premis pihak disyaki, menularkan maklumat peribadi atau membuat tuduhan melulu di media sosial, mencetuskan provokasi atau ugutan terhadap individu atau organisasi terlibat, serta mengambil alih peranan pihak berkuasa seperti mengarah penurunan bendera atau menyita bahan terlibat tanpa kuasa undang-undang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami