Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos yang ditahan polis semalam berhubung kenyataannya tentang rusuhan di Jalan Petaling telah dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini, malam tadi.

Jamal yang memakai kemeja-T serta topi berwarna hitam dibebaskan pada kira-kira jam 8.30 malam, disambut oleh penyokong-penyokongnya yang sudah mula berkumpul di luar balai polis itu pada awal petang Sabtu.

Sejurus keluar dari balai polis, Jamal mula dikerumuni oleh penyokongnya dan mereka berdoa beramai-ramai.

Jamal berkata walaupun bersyukur beliau dibebaskan, penahanannya sangat mendukacitakan dan bersifat tidak wajar.

Katanya, ini kerana penahanannya adalah berasaskan kepada laporan media yang kurang tepat dari kenyataannya berhubung rusuhan di Jalan Petaling yang dibuat pada 23 September.

“Hanya sebahagian daripada kenyataan saya diambil dan dihebahkan ... dan ini telah menyebabkan keadaan menjadi tidak selesa dan kelam kabut.

“Perkara ini bukan sahaja menyusahkan diri saya ... pada raya (Hari Raya Aidiladha) kedua saya ditahan. Juga menyusahkan pegawai-pegawai polis yang sepatutnya bercuti bersama keluarga dan terpaksa dikerah untuk menjaga (kawasan) Jalan Petaling, Bukit Bintang dan sebagainya.

“Saya daripada awal lagi mengatakan bahawa sayalah orangnya yang membantu polis untuk menyuraikan perhimpunan dan juga mereka yang merusuh pada 16 September di Jalan Petaling.

"Itu sebenarnya yang ingin saya sampaikan sebenarnya pada September 23 ketika saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya berkenaan fitnah-fitnah yang dibuat terhadap saya di laman media sosial.

“Tetapi, laporan sesetengah media, media pro-pembangkang, telah pun mensensasikankan apa yang saya kata. Saya ingin memberi amaran kepada rakan-rakan media yang membuat laporan tidak tepat, akan berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas dari saya.

“Dalam sehari dua ini saya akan membuat laporan berkenaan dengan laporan media tersebut,” katanya di dalam satu sidang media di hadapan IPD Dang Wangi, sejurus selepas dia dibebaskan.

Jamal berkata dia hanya ingin membersihkan namanya kerana tidak terlibat dan bukan penganjur kepada dakwaan tentang penganjuran satu rusuhan hari ini.

“Saya berharap diwaktu-waktu yang akan datang pihak media ini akan lebih bertanggungjawab untuk mengeluarkan kenyataan bukan untuk memsensaikan apa yang dikatakan.

“Pihak peguam yang saya lantik sedang meneliti kenyataan asal saya dan apa yang mereka siarkan,” katanya.

Jamal juga berkata beliau diberikan layanan yang baik semasa di dalam tahanan polis dan beliau faham bahawa itu adalah prosedur yang harus dijalankan.

Semalam, Jamal ditahan pada jam 9 malam tadi di IPD Ampang Jaya di bawah Seksyen 105 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan di Jalan Petaling itu.

Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah memberi kuasa penuh kepada polis untuk menangkap dan menahan sesiapa sahaja yang terlibat bagi mencegah jenayah daripada berlaku.