Jambatan Melaka-Indonesia bakal direalisasikan

Ab Rauf menyempurnakan Majlis Perasmian Kilang Kedua EP Manufacturing Berhad dan Pengeluaran Pemasangan Pertama GWM MPV WEY G9 di Kawasan Perindustrian HICOM Pegoh hari ini. - Bernama
ALOR GAJAH: Kerajaan negeri bakal merealisasikan pembinaan jambatan penghubung antara Melaka dan Indonesia melalui Pengkalan Balak, sekali gus menjadi 'pintu gerbang' dunia terakhir yang menghubungkan kedua-dua negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata projek mega itu dijangka dibentangkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara pada Januari tahun hadapan untuk penelitian lanjut sebelum diserahkan kepada pihak Indonesia.
"Jarak dua lokasi ini hanyalah 47.7 kilometer atau sekitar 40 minit, sekali gus menjadi titik paling dekat antara kedua negara ini. Kerajaan negeri juga telah mengeluarkan kos sekitar RM500,000 kepada syarikat perunding bagi mengkaji keberkesanan dan keupayaan jambatan ini untuk mengubah landskap ekonomi serta mobiliti serantau," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kilang Kedua EP Manufacturing Berhad dan Pengeluaran Pemasangan Pertama GWM MPV WEY G9 di Kawasan Perindustrian HICOM Pegoh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk mengambil alih 5,000 hektar kawasan di Masjid Tanah bagi dijadikan zon perindustrian baharu yang mampu menarik pelbagai pelabur domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata kewujudan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di kawasan berhampiran juga dijangka bertindak sebagai pemangkin tambahan, menyokong pembangunan jambatan serta memperkukuh sektor ekonomi biru di Melaka.
"Ekonomi biru di Masjid Tanah dijangka memberikan pulangan terbaik kepada kerajaan negeri dan negara, termasuk peluang pekerjaan kepada anak tempatan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


