KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 15 hari bermula Mei tahun depan untuk perbicaraan tiga pertuduhan rasuah yang dihadapi ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad berkaitan Program Jana Wibawa.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Suzana Hussin ketika sebutan kes hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Adam Radlan.

"Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos tahun depan," kata hakim itu yang turut menetapkan 31 Okt ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Terdahulu, Farah Yasmin memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan memfailkan permohonan bertulis untuk memindahkan dua lagi kes yang dihadapi Adam Radlan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi untuk dibicarakan bersama dengan tiga kes di mahkamah ini.

"Pendakwaan akan memfailkan permohonan dalam masa dua minggu dan pada hari ini kami menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembelaan. Kira-kira 20 saksi akan dipanggil untuk kes pendakwaan," kata Farah Yasmin.

Pada 21 Feb lepas, ahli perniagaan itu dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama (Mat Jusoh) sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sebuah restoran di Dutamas dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku pada Mac 2021 dan 26 Nov 2021.

Bagi pertuduhan ketiga, Adam Radlan dituduh menerima RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Kesemua pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA