MALAYSIA
'Jangan halang petugas hamil 22 minggu pulang awal' - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly ditemui selepas menyaksikan MoU bagi Inisiatif ‘Cancer Care Closer to Community’ antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Roche Malaysia di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Pengurusan fasiliti kesihatan diminta mematuhi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membenarkan kakitangan hamil pulang lebih awal apabila kandungan mencecah 22 minggu.
Ringkasan AI
- Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017, penjawat awam wanita yang mengandung 22 minggu ke atas layak pulang kerja satu jam lebih awal setiap hari.
- Terdapat laporan bahawa kemudahan ini hanya diberikan apabila kandungan mencapai 36 minggu, bercanggah dengan pekeliling yang sah.
- Kemudahan ini bertujuan menjaga kebajikan dan kesihatan ibu hamil, terutama yang berisiko mengalami kelahiran pramatang.
"Namun ia bukan menjadi sebab mengapa kita boleh melanggar peraturan peraturan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Inisiatif ‘Cancer Care Closer to Community’ antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Roche Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan isu berbangkit ini diberi perhatian sewajarnya terutama melibatkan jururawat hamil.
“Saya mahukan sama ada isu tentang jururawat-jurruawat yang hamil khususnya dan juga MySTEP yang juga dibangkitkan sekali gus saya mahu semua ini diberikan compliance dan dipatuhi peraturan yang telah kita tetapkan,” ujarnya.
Sebelum ini, sebuah portal dalam talian melaporkan beberapa kakitangan kesihatan wanita yang sedang hamil di Klinik Kesihatan (KK) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di Selangor didakwa tidak menerima kemudahan pulang awal seperti yang diperuntukkan dalam pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menurut pekeliling JPA, penjawat awam wanita yang hamil dibenarkan untuk pulang kerja satu jam lebih awal setiap hari bermula dari usia kandungan 22 minggu atau lima bulan.
Namun, laporan yang diterima menyatakan bahawa kemudahan tersebut hanya diberikan kepada kakitangan hamil apabila kandungan mencecah 36 minggu atau sembilan bulan.
Keadaan ini menyebabkan ramai petugas kesihatan wanita tidak dapat memanfaatkan kemudahan tersebut kerana mereka mengalami kelahiran pramatang sebelum usia kandungan mencapai 36 minggu.
Isu ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga kerja kesihatan yang berharap agar garis panduan sedia ada dipatuhi demi menjaga kebajikan dan kesihatan ibu hamil yang berkhidmat dalam sektor awam.
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017, menetapkan usia kandungan ‘lima bulan dan ke atas’ sebagai 22 minggu ke atas.
Pekeliling ini memperuntukkan kemudahan pulang awal satu jam kepada pegawai awam wanita yang mengandung 22 minggu ke atas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami