MUMBAI: Isteri aktor popular Bollywood Shah Rukh Khan, Gauri Khan melarang tukang masak di kediaman mereka daripada menghidangkan sebarang juadah manisan sehinggalah anak mereka, Aryan Khan yang kini ditahan di Penjara Arthur Road, Mumbai susulan kes dadah, pulang.

Menurut India Today, Gauri mengeluarkan 'arahan' itu selepas mendapati seorang tukang masaknya sedang memasak kheer, iaitu sejenis puding manis popular di negara itu untuk makan tengah hari.

Manisan merupakan makanan wajib kepada masyarakat India di seluruh dunia terutamanya ketika mengadakan upacara keramaian termasuk perkahwinan dan keagamaan. Malah manisan juga menjadi simbolik untuk menggambarkan rasa gembira dan kesyukuran.

Esok adalah hari penting buat Aryan dimana sesi pendengaran untuk mendapatkan jaminan buatnya bakal didengar oleh mahkamah.

Keluarga itu mengharapkan Aryan dapat dibebaskan dan kembali bersama keluarga sebelum sambutan Deepavali yang bakal menjelang.

BACA: 10 minit yang bermakna, akhirnya Shah Rukh Khan 'bertemu' Aryan

BACA: Aryan, anak Shah Rukh Khan sudah berjinak dengan dadah sejak empat tahun lalu?

BACA: Saya tidak akan bercakap untuk mereka seperti Aryan Khan yang ayahnya 'berkuasa' - Asaduddin Owaisi

Terdahulu, Shah Rukh Khan difahamkan meminta rakan selebritinya untuk tidak mengunjungi kediamannya buat seketika, dan mahu meluangkan masa bersama keluarga ketika waktu genting ini.

Pada 11 Oktober lalu, pasangan itu juga dikatakan mengirim Rs4,500 (RM250) untuk menampung perbelanjaan kantin Aryan kepada Penjara Arthur Road, Mumbai, 'kediaman' sementara anak sulung mereka itu.

Mengikut peraturan penjara, seorang tahanan boleh menerima kiriman wang maksimum Rs4,500 untuk mereka berbelanja dalam penjara.

Sumber menyatakan, Aryan diberikan nombor tahanan N956 dan dia kelihatan terganggu, tertekan dan tidak selesa di penjara.

Pada 3 Oktober lalu, Aryan bersama tujuh yang lain termasuk dua wanita ditahan anggota polis dari Biro Kawalan Narkotik (NCB) di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai.

Menurut The Times of India, NCB turut merampas 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan lebih 1.3 juta lakh Rupee dalam serbuan itu.