KUALA LUMPUR: Penahanan anak lelaki bintang Bollywood, Shah Rukh Khan iaitu Aryan Khan dalam satu serbuan di atas sebuah kapal persiaran di Mumbai, India ternyata mengejutkan ramai pihak terutamanya peminat pelakon itu.

Penahanan itu seolah-olah mengukuhkan khabar angin sebelum ini, yang mendakwa anak sulung daripada tiga beradik itu sebenarnya 'liar' dan sudah bergelar penagih dadah sejak empat tahun yang lalu.

Aryan dikatakan mula berjinak-jinak dengan najis itu sewaktu melanjutkan pelajaran dalam bidang perfileman di sebuah universiti di California, Amerika Syarikat dan baharu sahaja menamatkan pengajiannya pada Mei lalu.

Malah ketika polis memeriksa perbualan aplikasi media sosial WhatsApp pemuda itu, polis mendakwa wujud perbualan mengenai aktiviti jual beli barang terlarang itu.

Enggan menerima dakwaan pihak polis itu, maka tidak hairanlah Shah Rukh sanggup melantik antara peguam paling mahal di India iaitu Satish Maneshinde untuk membela Aryan.

Nama peguam itu melonjak naik sebelum ini selepas mengemudi kejayaan mengendalikan kes pemilikan senjata api oleh kumpulan penjenayah yang dikaitkan dengan serangan bom terburuk di India pada 1993.

Kes itu turut membabitkan rakan selebriti Shah Rukh, Sanjat Dutt, yang pernah dipenjarakan sebelum kemudiannya dibebaskan dengan hukuman lebih ringan.

Kehadiran peguam berusia 57 tahun itu memberikan harapan buat Shah Rukh untuk membebaskan anaknya itu, dengan alasan Aryan ke pesta itu hanyalah sebagai tetamu jemputan.

Aryan juga diyakini tidak mengetahui pesta itu membabitkan penggunaan dadah, meskipun pemeriksaan polis memdakwa menemukan sejumlah dadah dalam poket seluarnya.

Hari ini, selepas disahkan negatif COVID-19 dan selesai menjalani kuarantin, Penjara Arthur Road kini menjadi 'rumah sementara' kepada Aryan Khan, 23, dan rakan-rakannya yang turut ditahan dalam serbuan tempoh hari.

BACA: Permohonan jaminan anak Shah Rukh Khan ditolak, Aryan dihantar ke Penjara Arthur

BACA: Shah Rukh Khan rasa 'kecewa', tidak makan atau tidur sejak anaknya ditahan

BACA: Shah Rukh Khan lantik peguam baharu kendali kes anak


Berikut kronologi kejadian penahanan Aryan Khan:

2 Oktober - Aryan Khan ditahan Biro Kawalan Narkotik (NCB) ketika melakukan serbuan di atas Cordelia ketika kapal itu berlayar menuju ke Goa.

3 Oktober - Dihadapkan ke mahkamah. Mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

8 Oktober - Mahkamah sekali lagi menolak permohonan peguam bela Aryan Khan untuk diikat jamin, Aryan terus ditahan di bawah perintah penjagaan mahkamah (judicial custody) dan dihantar ke Penjara Arthur.

11 Oktober - Mahkamah menetapkan 13 Oktober untuk tarikh pendengaran selepas NCB memohon sedikit masa lagi untuk melengkapkan siasatan serta memohon agar jaminan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri menganggu siasatan.

13 Oktober - Mahkamah menangguhkan pendengaran kepada 14 Oktober.

14 Oktober - Mahkamah sekali lagi menolak permohonan jaminan dan Aryan Khan dihantar ke Penjara Arthur Road selepas menjalani kuarantin dan disahkan negatif COVID-19. Permohonan semula jaminan akan didengar Rabu depan (20 Oktober).