Kerajaan diminta memastikan pekerja asing di negara ini tidak membina koloni mereka sendiri sehingga menimbulkan masalah termasuk pergaduhan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan berkata, kebenaran bekerja untuk warga asing dilihat perlu mempunyai batasan yang tidak menjejaskan keamanan masyarakat tempatan.

"Jangan dilihat ini sebagai masalah kaum India sahaja tetapi perkara ini boleh melibatkan kaum-kaum yang lain.

"Kita benarkan perkerja asing bekerja di sini tetapi kita tidak boleh membenarkan mereka membina koloni dalam negara kita," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Saravanan berkata demikian selepas membuat lawatan ke rumah balu M.Kamarajan, S.Sumathi, iaitu mangsa bunuh dalam pergaduhan di Pasar Borong Selayang baru-baru ini.

Pada majlis berkenaa, Saravanan menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada balu mangsa.

Turut hadir, Ketua Pemuda MIC, C Sivaraj.

Sebelum ini, Saravavan meminta kerajaan mengkaji keperluan untuk menarik semula lesen perniagaan warga tempatan yang disewakan kepada warga asing.

Tegasnya, ia sekali gus dapat mengurangkan sebarang risiko atau kemungkinan berlakunya perkara negatif terutama pergaduhan di antara rakyat negara dan warga asing.

Dalam pada itu jelasnya, satu pertemuan bersama Kementerian Dalam negeri (KDN) dan Imigresen akan diadakan dalam waktu terdekat untuk mencari penyelesaian kepada isu berkenaan.

"Saya akan pastikan pihak berkenaan mengambil tindakan segera ke atas pekerja-pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.

"Saya juga mencadangkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Imigresen serta wakil peniaga untuk memastikan masalah ini selesai dengan segera," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Sentul, ACP R Munusamy berkata, pihaknya menahan seramai 75 orang berikutan insiden serangan di Pasar Borong Selayang.

Tegasnya, penahanan itu diharap langkah mengelak kejadian seumpama itu berulang.