Skip to main content

Malaysia

Jangan defensif, media arus perdana dan pempengaruh perlu berkolaborasi - Ashwad Ismail

Menerusi podcast Meet Jo-Black, Ashwad menegaskan, era kini menuntut kolaborasi rentas sektor bagi menjamin kelangsungan industri penyiaran negara.
Menerusi podcast Meet Jo-Black, Ashwad menegaskan, era kini menuntut kolaborasi rentas sektor bagi menjamin kelangsungan industri penyiaran negara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Institusi penyiaran arus perdana perlu mengikis sikap defensif terhadap ledakan pencipta kandungan bebas dan media digital, sebaliknya membuka ruang kolaborasi yang lebih meluas demi kelangsungan ekosistem media tempatan.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail berkata, desentralisasi maklumat telah menamatkan era pergantungan audiens kepada satu saluran televisyen tunggal, sekali gus mendemokrasikan ruang penyampaian naratif kepada masyarakat.

Jelas beliau, dalam landskap serba canggih hari ini, pemilikan alat penerbitan bukan lagi monopoli organisasi gergasi apabila sesiapa sahaja boleh menghasilkan kandungan bermakna menerusi telefon pintar masing-masing.

Advertisement

"Dalam landskap hari ini, semua orang boleh menjadi media. Apa yang penting adalah perspektif, apa yang berlaku di lapangan, untuk dilihat dan dikenali, serta membina hubungan yang bermakna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika tampil sebagai tetamu dalam episod sulung program bual bicara Meet Jo-Black Podcast yang dihoskan oleh Jo-anna Henley Rampas dan Amin Iskandar.

Advertisement

Menurut Ashwad, agensi penyiaran tertua seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia memanfaatkan peranannya untuk bekerjasama secara sinergi dengan pemain industri baharu, termasuk penerbit podcast dan pempengaruh digital.

Beliau menyifatkan pendekatan seluruh masyarakat (whole-of-society approach) sebagai kunci utama agar industri media tempatan kekal berdaya saing dari sudut kemampanan ekonomi tanpa mengabaikan fungsi sosialnya.

"Sebagai organisasi media pertama Malaysia, persoalannya bagaimana kita bekerjasama dengan organisasi atau entiti media yang terbaharu? Akhir sekali, kita berada dalam era kolaborasi. Setiap pihak perlu diberikan tempat di meja perbincangan dan tiada siapa yang wajar ditinggalkan," jelasnya lagi.

Tambah beliau, sinergi antara media tradisi yang berpegang kepada disiplin kewartawanan dengan keagresifan serta kreativiti media baharu berupaya mengangkat identiti dan kepentingan Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan lebih berkesan.

Must Watch Video

Advertisement