YAN: Pengunjung Pantai Murni Waterfront di sini dinasihatkan supaya tidak berada berdekatan benteng penahan ombak yang dibina bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, keadaan laut ketika ini masih bergelora dan tidak selamat untuk orang ramai terutama yang membawa anak kecil.

Beliau berkata, pengunjung juga tidak dibenarkan untuk menggunakan jambatan yang terdapat di kawasan itu bagi tujuan bergambar atau beriadah.

"Jambatan itu menghala kira-kira 500 meter ke tengah laut. Ombak yang kuat sekarang ini boleh mempengaruhi struktur jambatan tersebut.

"Insya-Allah saya akan memanjangkan kepada Majlis Daerah Yan (MDY) untuk menutup jambatan berkenaan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali reda," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Norlizawati berkata, sejak kejadian air pasang besar pada khamis, pihaknya menjalankan pemantauan secara berkala untuk memastikan keselamatan pengunjung dan penduduk sekitar terjamin.

"Kita tidak menghalang pengunjung bersantai dan makan di medan selera yang disediakan. Bagaimanapun, kena berhati-hati dan sentiasa memantau pergerakan anak-anak agar tidak mendekati kawasan berbahaya," ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga di medan selera, Mohd Izairie Izham Nor Azizan, 29, berkata, kejadian air pasang besar pada Khamis lalu merupakan paling buruk berlaku sejak benteng itu dibina kira-kira tiga tahun lalu.

"Sebelum ini setiap kali berlaku kejadian air pasang, paras air tidak naik sehingga melepasi benteng itu. Tapi pada Khamis lalu, air naik sehingga ke tangga berdekatan meja di medan selera ini," katanya.

Seorang pengunjung, Basri Mohamad, 66, dari Kupang, Baling berkata, dia dan isterinya, Mazliah Ahmad, 61, datang bersiar-siar di kawasan berkenaan setelah lama tidak berbuat demikian sejak beberapa tahun lalu.

"Kami berdua gemar mengambil angin di kawasan sebegini, tapi tak sangka pula hari ini ombak agak kuat.

"Kami pun tak berani nak dekat dengan laut, sekadar duduk ambil angin di medan selera sahaja," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian