KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik pagi tadi.
“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Tun Dr Ling Liong Sik, bekas Presiden MCA pada hari ini,” demikian titah Seri Paduka Baginda dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Advertisement
Terdahulu Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengesahkan Dr Liong Sik yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA, meninggal dunia pada pagi tadi.
Mendiang merupakan Ahli Parlimen Mata Kuching selama tiga penggal bermula 1974 sehingga 1986 sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Labis selama empat penggal bermula tahun 1986 hingga 2004.
Mendiang antara lain pernah berkhidmat sebagai Menteri Pengangkutan selama 17 tahun (1986-2003) selepas memegang jawatan timbalan menteri di kementerian Pendidikan, Penerangan dan Kewangan pada era 1980-an.
Dalam parti, beliau merupakan Presiden keenam MCA dan berkhidmat dari 3 September 1986 hingga 23 Mei 2003 sebelum dilantik sebagai Presiden Kehormat Seluruh Hidup pada 13 Jun 2003.
Ka Siong hari ini turut mengarahkan ahli parti untuk mengibarkan bendera MCA separuh tiang di seluruh negara sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada mendiang.