Muhammad Rafael, 10, tidak senang duduk di pangkuan ibunya.

Mulutnya tidak lekang daripada membuat bunyi-bunyian, sesekali berteriak dan mengusik mikrofon pihak media yang berada di depannya.

Pada wajahnya jelas tidak tahu apa yang sedang berlaku, namun siapa tahu hati anak autisme itu merindukan ayahnya.

“Memang sukar untuk jelaskan kepada mereka (anak-anak) di mana bapa mereka sekarang kerana mereka sangat rapat,” kata Ainnurul Aisyah Yunos Ali Maricar, 35, sambil cuba mengawal kelakuan Rafael di pangkuannya.

“Macam anak sulung saya ini, setiap malam memang bapanya lah yang tidurkan dia. Jadi sejak 2 Mei lepas, dia asyik tunggu dekat tepi tingkap,” katanya dengan sebak akhirnya tidak dapat menahan air mata mengalir ke pipi mengenang nasib suaminya.

Katanya, Rafael juga akan menampar-nampar wajahnya sendiri dan menggigit tangannya apabila tiada bapanya di sisinya kerana anak kecil itu tidak faham situasi yang berlaku.

Selalunya suaminya akan pulang ke rumah selepas kerja sekitar jam 9 malam, namun pada Selasa lepas hingga lewat malam, kelibat yang ditunggu tidak kunjung tiba.


Pada awalnya dia khuatir suaminya diculik, namun mengetahui dia ditahan polis menerusi catatan Twitter Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada keesokan harinya.

Ihsan Aslan, 37, merupakan antara tiga rakyat Turki iaitu Turgay Karaman, 43, dan Ismet Ozcelik, 57, yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) pada Selasa dan Rabu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan.

Aisyah tidak tahu mengapa suaminya ditahan kerana dia amat yakin dan percaya lelaki Turki yang dikahwini pada 2003 itu merupakan suami dan lelaki yang baik.

“Dia tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti atau kumpulan keagamaan sebab dia tiada masa. Isnin sampai Sabtu dia kerja menjaga kedai dan akan pulang ke rumah selepas itu, saya tahu jadual dia.

“Malah dia juga tidak melibatkan diri dengan mana-mana kumpulan NGO, itu yang mengejutkan saya.

“Hari ini sudah tujuh hari dia ditahan, dan saya sangat risaukan keadaannya. Saya hanya mahu tahu sekarang apa khabarnya,” katanya.

Kali terakhir Aisyah berhubung dengan suaminya adalah menerusi telefon pada petang 2 Mei, hari Ihsan ditahan. Itupun Aisyah mengadu kepada suaminya tentang anaknya yang dilaporkan menangis di sekolah.

Selepas mengetahui Ihsan ditahan, dia menghubungi polis untuk mengetahui keadaan suaminya dan polis memaklumkan dia hanya boleh berbuat demikian dan menemui Ihsan pada Khamis tetapi tertakluk kepada rayuan.

“Saya sudah pun lantik seorang wakil untuk menghantar rayuan tersebut kepada pihak polis.

“Saya dimaklumkan polis mempunyai hak untuk menahan suami saya selama 28 hari untuk siasatan, tetapi saya harap dan mohon dia dapat dibebaskan lebih awal kerana saya yakin dia tidak bersalah.

“Dia seorang lelaki yang baik, mengutamakan keluarga, dan dia tidak akan melakukan perkara yang bertentangan atau mengancam keselamatan Malaysia.”

Apa diharapkan adalah Ihsan tidak dihalau pulang ke negara asalnya dan diberi peluang untuk mempertahankan diri dan dibicarakan secara adil di mahkamah Malaysia.

“Saya tidak marah kepada sesiapa, saya percaya terdapat salah faham yang besar di sini dan ia boleh berlaku kepada semua orang. Cuma saya harap sangat dia dapat dibebaskan secepat mungkin.

“Saya merayu, kerana anak-anak sangat memerlukan bapa mereka,” kata Aisyah lagi.