Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan ahli-ahli UMNO agar jangan leka dengan kemelut politik yang berlaku sehingga boleh menjejaskan tumpuan untuk menghadapi pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan, ahli parti diminta tidak terikut-ikut dengan kemelut yang berlaku sehingga membuat pelbagai persepsi yang boleh merugikan parti sebaliknya berikan tumpuan untuk menghadapi parti lawan.

"Jika terlalu banyak 'politiking' dan andaian-andaian yang kurang tepat akan memberi impak negatif kepada persiapan jentera parti untuk menghadapi parti pembangkang.

"Kadang-kadang ada 'nasi tambah' dalam sesuatu isu yang kemudiannya disebarkan menerusi laman-laman sosial sehingga mencetuskan kekeliruan dan keraguan di kalangan ahli parti," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Setiap kemelut yang melanda parti, menurutnya, perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik tanpa menjejaskan perpaduan dalam kalangan ahli.

Dalam hal itu ujarnya, tidak mustahil ada pihak berkepentingan sengaja menjadikan kemelut politk yang melanda parti untuk meraih kepentingan peribadi.

"UMNO sudah cukup matang untuk menyelesaikan apa juga kekusutan dan masalah yang melanda tanpa menjejaskan kekuatan dan perpaduan parti.

"Tugas kita yang penting ialah bagaimana persiapan untuk berdepan dengan pihak pembangkang, kita tidak perlu terlalu optimis kerana PRU ke-14 merupakan satu pilihan raya yang amat getir," tegasnya.

Menurutnya, walaupun pakatan pembangkang kini masih terumbang-ambing dan tiada kesepakatan yang kukuh tetapi tidak semestinya UMNO mengambil sikap sambil lewa.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, pertarungan pada PRU ke-14 akan datang jauh bezanya dengan PRU ke-13 kerana faktor pertambahan pengundi muda.

"Jika pemimpin UMNO terlalu sibuk memberi perhatian terhadap beberapa isu atau kemelut politik yang berlaku dikhuatiri pihak pembangkang akan mengeksploitasikan isu tersebut untuk meraih sokongan rakyat," ujarnya.

Pengukuhan jentera parti katanya, perlu diperkukuhkan di setiap peringkat disamping penerangan yang lebih terbuka kepada rakyat berkaitan beberapa isu semasa.

Mengenai prinsip 'satu lawan satu' yang dicapai oleh pakatan pembangkang membabitkan PKR, DAP dan AMANAH untuk menentang Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO pada PRU ke-14, Syed Ali berkata ia tidak 'menakutkan' UMNO.

"UMNO tidak takut dengan prinsip tersebut kerana kita percaya, sesama pembangkang tidak pernah bersatu dan mereka tidak akan berpegang kepada prinsip tersebut.

"Ia pernah berlaku pada PRU sebelum ini di mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan PKR, DAP dan PAS akan bertanding di kawasan yang sama," jelasnya.