MALAYSIA
Jangan jadikan Malaysia tapak rekrut, kumpul dana keganasan - Saifuddin Nasution

Saifuddin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti sedemikian, walaupun sasaran kumpulan terlibat adalah untuk menggugat kerajaan negara asal mereka. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak menjadikan negara ini sebagai platform merekrut atau mengutip dana bagi aktiviti keganasan.
Ringkasan AI
- Malaysia tidak akan membenarkan negara ini dijadikan platform untuk merekrut atau mengutip dana bagi aktiviti keganasan, termasuk oleh kumpulan yang menyasarkan kerajaan negara asal mereka.
- PDRM berjaya menumpaskan Gerakan Militan Radikal Bangladesh yang dipercayai mengutip dana dan merekrut ahli bagi menyokong kumpulan pengganas Islamic State (IS) di Syria dan Bangladesh.
- Kumpulan tersebut dipercayai mengutip dana melalui yuran keahlian dan sumbangan tambahan, dengan keahlian antara 100 hingga 150 orang warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia; perekrutan dilakukan melalui media sosial dan aplikasi pesanan.
"Kejayaan ini membuktikan bahawa tahap perisikan kita berada pada tahap terbaik.
"Oleh itu, kita dapat menangani ancaman ini dengan pantas, dan kita tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu berkaitan keganasan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Pada 4 Julai lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mendedahkan bahawa siasatan awal mendapati kumpulan itu mengutip dana melalui yuran keahlian tahunan sebanyak RM500 seorang serta menerima sumbangan tambahan bergantung kepada kemampuan ahli.
Keahlian kumpulan tersebut dianggarkan antara 100 hingga 150 individu, terdiri daripada warga Bangladesh yang bekerja dalam sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan stesen minyak di negara ini.
Perekrutan ahli baharu dipercayai dilakukan melalui platform media sosial serta aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.
Mohd Khalid berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung jumlah dana yang telah disalurkan kepada kumpulan IS di Syria dan Bangladesh setakat ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami