KUALA LUMPUR:Rakyat perlu mengubah cara mereka melihat Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dari lensa politik yang lama, iaitu sebagai alat propaganda kerajaan.

Demikian ditegaskan penganalisis politik dan media sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Sara Chinnasamy yang berkata, dunia politik tanah air kini sudah banyak berubah.

“Jangan lihat penubuhan J-KOM ini sebagai satu instrumen propaganda kerajaan dari lensa politik lama.

“Kita harus tahu bahawa J-KOM ialah pengantara antara kerajaan dan juga rakyat.

“Mereka merupakan penyampai maklumat berhubung program dan insiatif yang dilakukan kerajaan,” katanya dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Khamis.

Tambahnya, penubuhan jabatan tersebut tatkala negara berdepan dengan pandemik COVID-19 dilihat sebagai langkah yang baik.


“J-KOM bukan sekadar menyampaikan maklumat berhubung dasar, masalah dan insiatif yang diambil kerajaan, tetapi lebih daripada itu iaitu menerima maklum balas daripada rakyat.

“Pada masa yang sama, menyampaikan maklumat kepada masyarakat di kawasan pedalaman dan mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet.

“Jadi, penyampaian maklumat di sini lebih kepada (kaedah) bersemuka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu memberikan justifikasi dan menjelaskan fungsi J-KOM dengan teliti.

Ia memandangkan bajet sebanyak RM85.5 juta yang diperuntukkan kepada jabatan berkenaan dalam Belanjawan 2021 disifatkan terlalu tinggi.


“Perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan adalah untuk memberi justifikasi mengapa Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas) perlu diwujudkan semula dan mengapa peruntukan bajet ini diberikan kepada jabatan ini.

“Di sini, kita memerlukan satu justifikasi yang benar-benar berkesan agar rakyat faham apakah konsep sebenarnya agensi ini berbanding dengan entiti lain di bawah KKMM,” katanya.

Semalam, Menteri KKMM Datuk Saifuddin Abdullah ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menjenamakan semula Jasa sebagai J-KOM dengan peranan dan fungsi berbeza.

Saifuddin berkata matlamat J-KOM adalah untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat iaitu bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat, selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.

Mengulas mengenai peruntukan tinggi untuk jabatan itu, Saifuddin memberikan bayangan bahawa ia akan dikurangkan.


Katanya, pengurangan itu boleh dibuat berikutan peruntukan J-KOM berdasarkan jumlah daerah dan bukannya mengikut jumlah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pengundian Rang Undang-undang Belanjawan 2021 dijadualkan berlangsung hari ini selepas baki sembilan menteri membuat penggulungan bagi kementerian masing-masing.