Individu dalam pengawasan (PUS) dan yang memakai gelang merah jambu atau putih, diingatkan agar tidak memotong gelang terbabit sesuka hati semata-mata untuk keluar rumah.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, SAC Che Zaimani Che Awang berkata, jika tertangkap, individu terbabit akan dikenakan tindakan keras dan diheret ke mahkamah.

"Kita harap orang yang terlibat ini juga jangan memotong (gelang) sebarangan atau keluar daripada kuarantin di rumah. Untuk makluman, pihak polis telah ditaklimatkan semua perkara ini. Kalau kita jumpa, memang kita akan tangkap.

"Kalau dia (PUS) hendak keluar, dia mesti minta kebenaran pihak hospital. Memang ada orang yang ada hal penting, nak jumpa orang sakit atau jika ada kematian contohnya, dia nak pergi juga, boleh, dengan syarat, dapat kebenaran pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sebab, kita tidak begitu kejam sehinggakan ada masalah yang begitu kritikal, tidak boleh pergi. Tidak begitu. Dapatkan permohonan, kebenaran, daripada KKM," katanya.

Beliau berkata, gelang merah jambu itu hanya boleh ditanggalkan di Pejabat Kesihatan atau Klinik Kesihatan Malaysia kerana perlu melalui prosedur yang ditetapkan.

Che Zaimani berkata, semua ini amat penting untuk memastikan penularan wabak COVID-19 tidak berlaku.

Setakat ini, jumlah individu yang dikuarantin di negeri ini adalah seramai 245 orang, yang dipantau pihak polis bermula Isnin lalu.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada penjawat awam di negeri ini bahawa mereka tidak akan terlepas tindakan kompaun sekiranya melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan sejak 18 Mac lalu.

Berdasarkan laporan yang diperolehi, seramai 18 penjawat awam dikompaun RM1,000 kerana ingkar PKP.

Mereka berusia antara 18 dan 53 tahun, didapati melanggar pelbagai kesalahan serta tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan.

Ini susulan terdapat kluster baru dikenalpasti di Kedah, iaitu Kluster PUI Sivagangga, India.

Ia membabitkan seorang pemilik kedai nasi kandar dan empat pekerja premis terbabit yang didapati positif COVID-19.