KOTA KINABALU: Kerajaan digesa agar tidak memotong peruntukan Ahli Parlimen bagi memastikan bantuan dapat disegerakan kepada rakyat yang memerlukan.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, peruntukan berkenaan amat penting bagi menyokong usaha kerajaan memerangi kemiskinan menerusi kerjasama Ahli Parlimen.

"Saya ingin menyatakan kepada kerajaan untuk memerangi kemiskinan ini bermakna Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan harus diperkasakan.

"Bagaimana hendak memperkasakan dan perbanyakkan peruntukan Ahli Parlimen? Jangan dikurangkan malah tambah lagi sebab peruntukan Ahli Parlimen ini adalah akses terus kepada rakyat.

"Rakyat menerima limpahan itu dan kita boleh mengangkat martabat mengeluarkan mereka dari kemiskinan, ini penting untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

"Banyak peruntukan, banyak bajet boleh dipotong, tapi peruntukan wakil rakyat menyokong kerajaan jangan dipotong", ujar Bung Moktar, dalam satu kenyataan media, di sini pada Selasa.

Perkara tersebut juga telah disuarakan beliau sewaktu sewaktu perbahasan usul Belanjawan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, Bung Moktar dalam kenyataannya turut menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyegerakan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan berharap agar fasa satu pelaksanaan projek tersebut yang melibatkan 19 pakej dapat dimulakan segera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memutuskan untuk mengurangkan peruntukan Ahli Parlimen kerajaan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.