PEMBENTANGAN belanjawan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Belanjawan 2027 merupakan jumlah terbesar sepanjang tempoh lima kali belanjawan dibentangkan di bawah pentadbiran beliau.
Jika Datuk Seri Najib Razak pernah menggelarkan Belanjawan 2018 sebagai ibu segala bajet, Belanjawan 2027 ialah ibu kepada segala belanjawan di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim.
Dengan jangkaan tempoh maksimum Dewan Rakyat berakhir sehingga Disember 2027, ini ialah belanjawan terakhir sebelum Perdana Menteri memohon semula rakyat memberi mandat baharu kepada kepimpinan beliau.
Tentunya, belanjawan ini bertujuan untuk menambat hati kelompok pengundi yang belum jelas pilihan undi mereka dalam pilihan raya yang akan datang. Banyak segmen pengundi yang memerlukan respons melalui angka-angka belanjawan ini.
Paling jelas strategi gaji minimum RM2,000 dan gaji lantai graduan sebanyak RM 2,500 memperlihatkan arah pandu pelurunya untuk mendapatkan sokongan pengundi muda yang berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang semakin menekan.
Kerajaan dilihat membuat penawar segera kepada kelompok pengundi di bawah umur 40 tahun yang mewakili hampir 50% pengundi di Malaysia.
Meskipun agenda pendidikan percuma masih belum jelas kelihatan, penangguhan pembayaran PTPTN kepada pemimjam bergaji RM 2,500 ke bawah dan bayaran serendah RM50 bagi gaji di bawah RM3,000 boleh dilihat sebagai penawar sementara kepada graduan yang sedang berdepan tekanan pasaran kerja.
Gerobok dapur keluarga dari kelompok B40 dilihat terus menjadi agenda utama melalui kenaikan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Tidak cukup dengan itu, kerajaan ini tidak dapat lari daripada menerima hakikat bahawa sumbangan tunai masih lagi agenda yang perlu dipenuhi sejak sekian lama melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Kerajaan juga dilihat lebih selesa memilih untuk mengekalkan subsidi petrol berbanding menggantikan subsidi kepada pemberian tunai.
Langkah populis ini dilihat masih diharapkan mampu menambat pengundi meskipun mungkin berhadapan isu ketirisan dan penyalahgunaan dalam kalangan pengguna.
Dua kementerian yang menerima perhatian dalam belanjawan kali ini tentunya Kementerian Pendidikan (RM69 billion) dan Kementerian Kesihatan (RM 47.7 billion).
Agenda pembaikan sekolah daif dan pertambahan jumlah bantuan awal persekolahan dilihat mampu menarik sejumlah besar sokongan pengundi terutamanya dalam kalangan ibu bapa.
Elaun pelajar Tingkatan 6 yang pertama kali diperkenalkan dilihat sebagai langkah paling berani untuk menarik sokongan pengundi pertama kali dalam pilihan raya akan datang.
Bagi sektor kesihatan pula, usaha menyerap kakitangan doktor perubatan kontrak dengan penjawatan tetap merupakan langkah drastik menangani sektor kesihatan yang semakin tenat.
Penjawat awam dilihat kelompok paling banyak menerima manafaat di bawah kerajaan MADANI. Selepas menerima RM2,000 pada awal 2024 sebagai insentif awal kajian SSPA dan dua kali kenaikan gaji melalui SSPA dalam penghujung 2024 dan awal tahun ini, kini penjawat awam akan menerima bantuan khas kewangan RM1,500.
Angka ini dianggap tinggi untuk bantuan khas kewangan di bawah pentadbiran kerajaan ini.
Pada waktu sama, pencen minimum juga turut dinaikkan dari RM1,000 kepada RM1,350. Umum mengetahui bahawa majoriti penjawat awam ialah segmen pengundi Melayu.
Persoalannya, mampukah insentif-insentif ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan di peti undi terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dengan melihat angka-angka tawaran, jika ia mampu diterjemahkan kepada kegembiraan dalam bentuk sokongan kepada kepimpinan Anwar, maka pilihan raya perlu diadakan segera. Jika keadaan ini tidak berlaku, mood sokongan perlu diwujudkan dengan cara lain.
Salah satunya ialah pilihan raya hanya boleh diadakan selepas sambutan ulang tahun tujuh darsawarsa Malaysia pada Ogos 2027.
Mungkin pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mewujudkan mood yang sama dicipta oleh Datuk Seri Najib sewaktu Ogos 2017 yang memperlihatkan mood sokongan yang kuat kepada beliau.
Malang sekali, beliau hanya memanggil pilihan raya pada Mei 2018 ketika mood sokongan sudah berkurang yang akhirnya membawa kepada kekalahan.
Justeru, selain belanjawan 2027 yang penuh angka, kepimpinan kerajaan ini perlu meletakkan plot yang jelas dalam kalendar politik tahun hadapan.
- Oleh Dr. Muhammad Azzubair Awwam Mustafa. Beliau ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak
- Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian dalam bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI