KUALA LUMPUR: Malaysia tidak harus berputus asa dan melihat usaha ke arah memelihara alam sekitar sudah terlambat meskipun tersenarai pada kedudukan 130 dari keseluruhan 180 buah negara dalam senarai Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI).

Aktivis alam sekitar, Amlir Ayat berkata, secara umumnya penduduk di negara ini mempunyai kesedaran tinggi berkenaan penjagaan alam sekitar, namun apa yang perlu diberi penekanan ialah pembabitan secara aktif dalam usaha ke arah itu.

Menyifatkan terdapat keraguan dalam cara penilaian ranking yang dikeluarkan Universiti Yale dan Universiti Columbia itu, Amlir bagaimanapun tidak melihat angka tersebut satu isu besar, sebaliknya mahu semua pihak memberi tumpuan kepada matlamat utama, iaitu memastikan alam sekitar yang sempurna, seimbang dan selamat untuk kesejahteraan kehidupan pada masa kini dan akan datang.

"Masih banyak usaha yang boleh dilakukan, kita boleh lihat sendiri keadaan alam sekitar di Malaysia, banyak lagi usaha perlu dilakukan dengan keadaan pencemaran udara dan air serta bencana banjir.

"Apabila semua ini kerap berlaku berbanding dahulu, ini bermakna kita menghadapi masalah dalam usaha pemuliharaan alam sekitar di Malaysia. Pihak kerajaan, saya pernah tekankan dahulu, aspek penguatkuasaan banyak perkara perlu perbaiki misalnya memantau pematuhan industri dan kilang.

"Banyak kilang yang tidak patut berada di situ atau yang mengabaikan undang-undang, kilang ini sepatutnya terus dimusnahkan. Malah yang berdaftar sekalipun kena henti dulu operasi atau disaman dengan kadar yang sepatutnya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.

Jelas Amlir, bergerak ke hadapan, selain aspek penguatkuasaan undang-undang, pematuhan garis panduan pembangunan dan pendidikan di peringkat paling asas perlu diberi perhatian.

"Baik untuk alam sekitar bererti baik untuk manusia, baik untuk masyarakat. Ini perlu ditekankan kerana ramai orang melihat alam sekitar ini entiti yang berlainan.

"Apabila kita kata selamatkan alam sekitar, mereka tak nampak. Selamatkan alam sekitar bukan saja menyelamatkan hanya untuk kebaikan alam sekitar tetapi kita nak jaga alam sekitar demi kesejahteraan manusia, itu kaitan yang perlu diberitahu dan difahamkan," tegasnya.

Indeks Prestasi Alam Sekitar 2022 yang baru dikeluarkan meletakkan Malaysia di tangga 130, dengan skor EPI 35.00.

Denmark paling cemerlang dengan skor 77.90, diikuti United Kingdom (77.70) dan Finland (76.50).

India di tangga terbawah dengan skor 18.90.

EPI menyenaraikan 180 negara berdasarkan perubahan iklim, kesihatan alam sekitar dan daya hidup ekosistem.