PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini diberitahu bekas peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Hisyam Teh Poh Teik telah diberi peluang untuk mengemukakan rayuan akhir SRC International Sdn Bhd, namun beliau tidak merebut peluang itu atas alasan tidak bersedia untuk membuat hujahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram berhujah, bahawa adalah tidak munasabah bagi peguam untuk hadir di mahkamah bagi mendapatkan penangguhan atas alasan bahawa beliau tidak bersedia.

"Pada dasarnya, tiada pelanggaran keadilan asasi atau ketidakadilan atau penyalahgunaan proses mahkamah untuk diperbetulkan. Pasukan peguam Najib mempunyai empat bulan untuk menyediakan permohonan bukti tambahan atau lanjut dan rayuan utama. Dakwaan musibah yang dihadapi peguam bela tidak boleh dipersalahkan kepada mahkamah kerana mahkamah telah memberi tempoh empat bulan kepada semua pihak untuk membuat persiapan.

"Peguam baharu pemohon (Najib), bersetuju mewakilinya selepas mengetahui tarikh pendengaran, hendaklah kekal sebagai peguam bela bagi pemohon dan tidak boleh menarik diri kerana jika tidak, mana-mana peguam baharu boleh dilantik dengan sengaja ketika tarikh pendengaran semakin hampir, untuk mengganggu tarikh pendengaran kes.

"Ini akan mewujudkan situasi absurd bagi mahkamah yang terpaksa bergantung kepada ihsan anak guam dan peguam mereka. Ia juga tidak beretika dan tidak profesional membuat penampilan hanya untuk menangguhkan prosiding selepas membentangkan hujah usul bukti baharu dan permohonan bagi penarikan diri Ketua Hakim Negara. Peguam akan muncul dan hilang sesuka hati," kata Sithambaram.

Timbalan pendakwa raya seterusnya berkata, Najib bersubahat dengan peguam baharunya dalam memohon penangguhan semasa rayuan akhir berkenaan walaupun mengetahui bahawa tarikh pendengaran telah ditetapkan empat bulan sebelum itu.

Najib telah melantik peguam baharu dengan harapan untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu dan oleh itu mahkamah mempunyai hak untuk menolak penangguhan yang diharapkan.

Tidak ada pelanggaran keadilan asasi dengan penolakan ini, kata Sithambaram, kerana ia adalah angkara sendiri.

Timbalan pendakwa raya kanan itu berkata demikian pada pendengaran permohonan Najib untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau berhujah demikian di hadapan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda.

Pendengaran permohonan itu bersambung Isnin. - BERNAMA