Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta supaya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak menjatuhkan hukuman kepada bekas perdana menteri itu berdasarkan ‘pendapat orang ramai’.

Peguam beliau, Farhan Read dalam hujahannya berkata mahkamah tidak sepatutnya terpengaruh dengan pandangan awam.

“Kami tidak menyalahkan orang ramai yang berasa marah. Namun, mahkamah sepatutnya tidak terpengaruh dengan pandangan.

“Keputusan perlu dibuat berdasarkan undang-undang dan fakta,” katanya ketika menutup penghujahan di peringkat bela diri.

Farhan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib tidak mempunyai niat untuk mengarahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Datuk Azian Mohd Noh untuk meluluskan pinjaman kepada SRC International.

“Azian merupakan anggota ex-officio panel pelaburan KWAP dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada akan memberikan pinjaman kepada SRC International atau sebaliknya.

"Keputusan itu terletak pada anggota panel,” katanya. 


Beliau turut menambah bahawa Najib tidak mengetahui akan keputusan KWAP untuk menganugerahkan pinjaman tambahan RM2 bilion kepada SRC International.

Farhan sebelum itu berkata Najib hanya bertindak memenuhi dasar sedia ada apabila beliau memberikan persetujuan kepada syarikat itu untuk mendapatkan jaminan kerajaan bagi mendapatkan pinjaman bernilai RM2 bilion.

Peguam itu menyatakan bahawa Najib dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil mengenai rancangan SRC International untuk mewujudkan dasar kerajaan.

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum ini menetapkan tiga hari mulai semalam (Isnin) untuk mendengar penggulungan lisan pihak pembelaan dan pihak pendakwaan.

Pada 11 November tahun lalu, Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga dakwaan melibatkan kes pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah peguam utama pihak pembelaan.