KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan sensasi, Rozita Che Wan, menerima menantu apabila anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy, selamat bergelar suami kepada pilihan hatinya, Auni Ikhwan pada Jumaat.
Pasangan itu dinikahkan oleh wali yang juga bapa pengantin perempuan, Ikhwan Hashim, dengan sekali lafaz pada majlis yang berlangsung di GlamHall Damansara, di sini, kira-kira 8.41 malam tadi.
Upacara akad nikah disaksikan Penolong Pendaftar Nikah merangkap Imam Masjid Damansara Perdana, Abdus Salam Mahmud.
Mengambil keberkatan 10 Muharram, majlis bertemakan ‘Garden Wedding’ itu dihadiri lebih 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua mempelai.
Dalam majlis berkenaan, Ammar menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 serta wang hantaran berbentuk jongkong emas.
Pasangan pengantin turut berbalas tujuh dulang hantaran. Pada upacara membatalkan air sembahyang, cincin berlian 1.8 karat dipersembahkan sebagai simbolik.
Rozita, yang mesra disapa Che Ta, tidak dapat menahan sebak ketika melepaskan anak sulungnya memikul amanah sebagai suami.
“Tetaplah bersama walau dalam keadaan tidak sempurna. Semoga Ammar menjadi suami yang melindungi dan bukan bersikap ‘bossy’. Buat Auni, jadilah isteri yang sentiasa mendampingi.
“Dalam perkahwinan, kebahagiaan bukan tentang pasangan yang tidak diuji, tetapi pasangan yang bersama walaupun diuji,” katanya dalam nada bergetar.
Sebagai ibu yang pernah melalui fasa perpisahan sebelum mengecap kebahagiaan, Che Ta berharap anak dan menantunya sentiasa realistik dalam melayari rumah tangga.
“Dalam kehidupan berumahtangga, pasti ada ujian. Cubalah untuk terus utuh dan bertolak ansur. Perkahwinan bukan seperti menukar pakaian.
“Walau berdepan pelbagai cabaran, jangan ambil jalan mudah. Semoga mereka sama-sama mewarnai rumah tangga dengan penuh sakinah, mawaddah dan warahmah,” katanya.
Mengenai tema majlis, Che Ta berkata konsep ‘Garden Wedding’ dipilih atas persetujuan keluarga selain menekankan elemen minimalis.
Pasangan mempelai tampil anggun dalam persalinan serba putih, dengan Ammar mengenakan busana rekaan Man Kajang, manakala Auni dalam persalinan Zaimi Zulkafli.
Majlis turut diserikan dengan Ahmad Fedtri Yahya sebagai pengerusi majlis serta bacaan doa oleh Pencetus Ummah (PU) Amin.
Ammar dan Auni mengikat tali pertunangan pada 25 Okt tahun lalu.
Pasangan itu dijadual diraikan dalam majlis bertemakan ‘Black Tie’ di sebuah hotel di I-City, Shah Alam, esok malam, sebelum majlis bertandang pada 4 Julai depan.