Skip to main content

Politik

PRN Johor: Golongan Milenial, Gen X dominasi senarai calon

JOHOR BAHRU, 26 Jun -- Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membuat persiapan akhir di Pusat Penamaan Calon N46 Perling sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Dewan Jubli Intan hari ini.  PRN Johor akan membuka tirai secara rasmi esok dengan proses penamaan calon bagi menentukan bakal wakil rakyat yang bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).  Pengundian PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal 7 Julai.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
SPR menetapkan 7 Julai sebagai hari pengundian awal, manakala hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai. - Gambar hiasan/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Golongan Milenial dan Generasi X berusia antara 30 hingga 49 tahun membentuk kumpulan terbesar calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, mencerminkan peningkatan penyertaan generasi itu dalam arena politik negeri.

Berdasarkan kenyataan media Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, daripada 172 calon yang disahkan bertanding, seramai 88 orang berada dalam lingkungan umur 30 hingga 49 tahun.

Kenyataan itu turut memaklumkan calon berusia 40 hingga 49 tahun merupakan kumpulan terbesar dengan 50 orang, diikuti calon berusia 30 hingga 39 tahun seramai 38 orang.

Calon berusia 50 hingga 59 tahun pula berjumlah 48 orang, diikuti 60 tahun ke atas seramai 27 orang, manakala kumpulan Generasi Z berusia 21 hingga 29 tahun merupakan yang paling kecil dengan hanya sembilan calon.

Sementara itu, statistik pengundi berdaftar SPR menunjukkan kumpulan pengundi berusia 30 hingga 39 tahun merupakan segmen terbesar pada PRN Johor kali ini dengan 587,888 orang.

Jumlah tersebut diikuti pengundi berusia 21 hingga 29 tahun seramai 544,657 orang, 40 hingga 49 tahun (492,922), 50 hingga 59 tahun (393,780) dan 60 hingga 69 tahun (308,313).

Selain itu, seramai 165,386 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun akan mengundi buat kali pertama, manakala kumpulan pengundi paling kecil direkodkan dalam lingkungan umur 80 hingga 99 tahun.

Seramai 2,727,926 pengundi layak mengundi pada PRN Johor kali ini, terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan serta 12,710 anggota polis dan pasangan.

SPR menetapkan 7 Julai sebagai hari pengundian awal, manakala hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai.
 

Must Watch Video

Advertisement