SHAH ALAM: Dua minggu lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titah Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya "cukuplah berpolitik siang dan malam".

Hari ini pula, pada pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Penggal Ke-14, 2022, nasihat sama turut dititahkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda mengingatkan semua Ahli DUN (ADUN) Selangor supaya menumpukan kepada usaha dan tanggungjawab meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan masing-masing, sekali gus membangunkan ekonomi negeri.

“Beta tidak mahu wakil rakyat menghabiskan masa dengan berpolitik untuk kepentingan parti masing-masing sahaja sehingga mengabaikan tugas dan peranan mereka untuk membela nasib rakyat.

“Janganlah asyik berpolitik siang dan malam untuk kepentingan diri masing-masing.

“Mengakhiri titah, beta berharap agar Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dapat berbahas dengan berhemah, memberi topik perbahasan yang bernas dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang tepat demi kesejahteraan rakyat yang beta kasihi,” titah Baginda.

BACA: 'Cukuplah berpolitik siang dan malam' - Titah Agong kepada Ahli Parlimen

Al-Sultan Abdullah sebelum ini menurunkan nasihat itu menerusi dua rangkap pantun dalam titahnya dua minggu lepas.

Sama seperti tahun sebelumnya, baginda mengakhiri titah dengan pantun nasihat, khusus buat semua Ahli Parlimen.

Sidang DUN Selangor dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula hari ini.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, pembukaan sidang DUN kali ini akan dilaksanakan dengan penuh istiadat termasuk pemeriksaan kawalan kehormat dan istiadat santapan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ketat.