SHANGHAI:Lebih daripada 100 kes baharu COVID-19 dikesan di China pada Selasa, iaitu hari ketujuh penularan semula dan yang terburuk sejak Mac tahun lalu.

Reuters melaporkan, sebuah wilayah di timur laut negara itu merekodkan pertambahan kes harian.

Pada Isnin, China mencatatkan 118 kes baharu, iaitu bertambah berbanding 109 pada hari sebelumnya, menurut pihak berkuaa kesihatan negara itu dalam satu kenyataan.

Daripada jumlah itu, 106 merupakan jangkitan tempatan dengan 43 kes dilaporkan di Jilim dan 35 di wilayah Hebei yang mengelilingi Beijing.

Ibu negara republik itu sendiri melaporkan satu kes baharu, sementara Heilongjiang di utara merekod 27 kes jangkitan.

Berjuta-juta rakyatnya kini diletakkan di bawah perintah berkurung sejak beberapa hari ini selain beberapa bandar-bandar utara menjalankan ujian saringan pantas berikutan kebimbangan virus itu kembali menular menjelang Tahun Baharu Cina nanti.

Lazimnya, menjelang perayaan itu, ratusan juta orang akan bergerak pulang ke kampung halaman, termasuk pekerja migran yang kembali untuk bersama keluarga.

Pihak berkuasa merayu kepad orang ramai untuk mengelakkan daripada pulang ke kampung menjelang Tahun Baharu Cina, selain menghindari majlis keramaian seperti perkahwinan. Rayuan itu bagaimanapun dijangka berdepan cabaran sukar.

Penularan terkini di Jilin dikenal pasti berpunca daripada seorang jurujual yang keluar dan masuk ke daerah Heilongjiang, iaitu kawasan yang dahulunya mencatatkan kluster jangkitan.

Jumlah keseluruhan kes positif yang tidak menunjukkan simptom, yang China tidak kategorikan sebagai jangkitan yang disahkan, jatuh daripada 115 kes kepada 91 kes.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 yang disahkan di China adalah 89,454, sementara angka kematian pada jumlah 4,635 orang.