KUALA LUMPUR: Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata tidak mencukupi jika orang ramai masih leka.

Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Prof. Madya Ts. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin berkata, peningkatan kes jangkitan di sekolah bukan hanya cerminan masalah pada pelaksanaan SOP tetapi juga kerana kurangnya kefahaman dan mengambil ringan situasi pandemik ketika ini.

"SOP memang ada tapi dalam masa yang sama, pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah kena mainkan peranan. Guru-guru dan pelajar yang kurang sihat, perlu diberikan fleksibiliti untuk tidak hadir ke sekolah.

"Ini memang jelas dalam SOP tapi masalahnya kita yang tak faham. Ibu bapa kadang-kadang, apabila anak tidak sihat, mereka kata tak mengapalah, selsema sikit saja.

"Akhirnya inilah yang membuka ruang untuk jangkitan terjadi kerana apabila anak-anak berada di sekolah, sudah sukar untuk dipantau, terutama dengan keadaan dalam kelas dengan jumlah pelajar dan persekitaran yang tertutup," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.

Justeru, beliau melihat cara penyelesaian terbaik ketika ini ialah mempercepatkan pengagihan vaksin.

"Ini salah satu penyelesaian paling reliable ketika ini. Saya difahamkan, pemberian vaksin kepada frontliner perubatan sudah hampir menyeluruh, jadi kita nampak kes jangkitan dalam kalangan mereka juga sudah berkurangan.

"Tetapi bagaimana dengan yang lain? Guru-guru contohnya, ialah frontliner di sekolah. Jadi mereka perlu segera diberi vaksin bagi membolehkan kes jangkitan di sekolah dikawal," tegasnya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu sidang media memaklumkan terdapat 53 kluster aktif melibatkan pendidikan dilaporkan hari ini.

Sehingga kini sebanyak 4,868 kes jangkitan COVID-19 dikesan melibatkan sektor pendidikan sejak Januari lalu.