Kawasan terumbu karang di perairan Miri kini dalam keadaan terancam kepupusannya akibat daripada 'jaring hantu' atau jaring yang dibuang nelayan tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Cawangan Miri, Iqbal Abdollah berkata, semasa kerja-kerja pembersihan di dalam laut semalam pihaknya telah membawa keluar jaring seberat 50 kilogram dan 100 meter panjang yang ditinggalkan di Seafan Garden, salah satu lokasi penyelaman terbaik Miri.

"Jaringnya tersebut masih agak baru dan ia telah hanyut meliputi lebih daripada 3,000 meter persegi kawasan terumbu karang yang indah seperti 'Gorgonian Sea Fan', 'Sea Whip' dan pelbagai jenis terumbu karang yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini sambil menambah masih terdapat banyak jaring yang tidak dapat dikeluarkan akibat kadar penglihatan yang rendah.

Oleh itu, Iqbal berkata terdapat keperluan mendesak untuk melindungi terumbu karang tersebut dan pelbagai spesies hidupan laut daripada jaring terbuang kerana ia boleh mengancam kehidupan laut itu.

Usaha pembersihan di dalam laut itu dilaksanakan kumpulan sukarelawan dari MNS Miri, CoCo Dive Miri dan CRK Elite Diving Brunei bersempena Hari Pembersihan Bumi dan Pesisir Pantai Sedunia Miri 2018, Hari Malaysia Ke-55 dan 'International Year of the Reef' (IYOR) 2018.

-- BERNAMA