Jaring terbiar bahayakan keselamatan, imej Tasik Banding

Mohd Ghazali (dua, kiri) menarik pukat atau jaring yang dibiarkan terpasang terlalu lama di perairan sekitar Tasik Banding, Gerik, semalam. --fotoBERNAMA
GERIK: Nelayan darat sekitar Tasik Banding dinasihatkan tidak membiarkan jaring mereka dipasang terlalu lama bagi mengelakkan kejadian bot pelancong tersangkut atau rosak, kata Pengarah Jabatan Perikanan Perak Mohd Ghazali Abdul Manap.
Beliau berkata selain melibatkan aspek keselamatan dan kos pembaikan yang tinggi kepada pengusaha, tindakan berkenaan juga menjejaskan imej Tasik Banding sebagai pusat ekopelancongan utama di negeri ini.
"Kita boleh nampak ada pukat yang dipasang di kawasan tunggul kayu mati sekitar tasik ini dibiarkan terlalu lama, malah ada yang ditinggalkan begitu sahaja dan ini membahayakan keselamatan," katanya kepada Bernama di Jeti Awam Pulau Banding di sini.
Terdapat kira-kira 120 nelayan darat mencari rezeki sekitar Tasik Banding yang terbentuk hasil pembinaan Empangan Temenggor pada 1974 dan kini menjadi tasik buatan terbesar di Perak merangkumi kawasan seluas lebih 150 kilometer persegi.Terletak di tengah Hutan Belum-Temenggor yang berusia lebih 130 juta tahun, tasik itu kaya dengan pelbagai spesies ikan seperti kelah, temoleh, tengas dan sebarau.
Sementara itu, Mohd Ghazali berkata ketika ini pihaknya menggunakan pendekatan nasihat namun tindakan di bawah Kaedah-kaedah Perikanan Sungai Negeri Perak 1992 akan diambil kepada nelayan yang dikesan melakukan kesalahan berulang.
Beliau berkata pemantauan berterusan turut dilakukan terutama di kawasan laluan utama bot bagi memastikan peraturan berkenaan dipatuhi sepenuhnya kerana Royal Belum adalah khazanah semula jadi yang perlu dijaga bersama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami