Skip to main content

Malaysia

JAS Kuala Lumpur kesan lapan kes penipuan guna nama jabatan, libat kerugian lebih RM200,000

 Pengarah Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAS WPKL) Sharifah Zakiah Syed Sahab
Sharifah Zakiah berkata setakat hari ini, lapan cubaan penipuan membabitkan tempahan perolehan kerajaan dikesan, mengakibatkan kerugian berjumlah lebih RM200,000 terhadap dua pembekal. - Gambar Facebook JAS
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Lumpur mengesan beberapa cubaan pihak tidak bertanggungjawab melakukan penipuan dengan menggunakan nama jabatan berkenaan.

Pengarah JAS Kuala Lumpur Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata setakat hari ini, lapan cubaan penipuan membabitkan tempahan perolehan kerajaan dikesan, mengakibatkan kerugian berjumlah lebih RM200,000 terhadap dua pembekal.

Beliau berkata pihaknya mula mengesan penipuan berkenaan pada 4 Sept lepas, apabila seorang wakil pembekal peralatan selaman hadir ke jabatan itu bagi menyemak kesahihan dokumen perolehan kerajaan. 

“Sebelum itu, JAS Kuala Lumpur juga menerima beberapa pertanyaan tentang dokumen perolehan kerajaan ini mulai pertengahan Ogos lepas. Pada Selasa lepas (8 Sept), seorang wakil syarikat pembekal hadir untuk membuat pertanyaan tentang pesanan cenderahati bernilai lebih RM100,000 yang kononnya dibuat oleh JAS Kuala Lumpur untuk kegunaan program yang akan diadakan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati jabatan berkenaan tidak pernah membuat sebarang pesanan cenderahati atau tempahan program. Sebaliknya tempahan itu dibuat menggunakan dokumen palsu yang menyalahgunakan nama pegawai serta menggunakan kepala surat dan tandatangan pihak pengurusan yang dipalsukan.

“Berdasarkan maklumat pembekal, mereka mendakwa telah memindahkan lebih RM100,000 kepada pihak tertentu sebagai pembayaran awal untuk cenderahati berkenaan. Pihak JAS Kuala Lumpur telah meminta pembekal berkenaan membuat laporan polis berkaitan penipuan itu,” katanya.

Sharifah Zakiah berkata JAS Kuala Lumpur juga telah membuat laporan polis pada Rabu lepas bagi menafikan penglibatan pegawai jabatan itu dalam kejadian berkenaan selain laporan turut dibuat kepada Bahagian Kewangan Ibu Pejabat JAS. 

Beliau bagaimanapun berkata sehingga semalam dan hari ini, pihaknya masih menerima pertanyaan mengenai pesanan perolehan palsu berkenaan. 

“Malah, hari ini terdapat pembekal yang tertipu dengan kerugian lebih RM100,000 dan jabatan kemudiannya merujuk kes-kes ini kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman,” katanya.

Sharifah Zakiah turut menasihati semua pembekal dan kontraktor supaya lebih berhati-hati dan membuat semakan kesahihan dokumen perolehan kerajaan yang diterima.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement