Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor akan mengambil tindakan sekiranya laporan siasatan mendapati terdapat pencemaran alam sekitar akibat kewujudan pusat pengumpulan dan pengagihan bauksit seperti didakwa penduduk Minyak Beku, dekat Batu Pahat.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezani Mat Salleh berkata siasatan mengenai pencemaran itu sedang dijalankan dan masih menunggu laporan lengkap mengenainya.

"Saya sudah arahkan siasatan segera dilakukan dan masih menunggu laporan dari pegawai saya dan kita akan umumkan selepas laporan siap.

"Kita akan menyiasat dan sekiranya memang berlaku pencemaran, maka, kita akan keluarkan notis arahan.

"Bidang kuasa JAS hanya tertakluk pada mengawal tahap pencemaran manakala peraturan lain di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor dan kerajaan tempatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, media melaporkan aktiviti harian penduduk di sekitar Minyak Beku terjejas dengan pencemaran bauksit berikutan kawasan itu dijadikan pusat pengumpulan dan pengagihan bahan berkenaan sejak kira-kira dua bulan lepas.

Penduduk sekitar turut mendakwa ada pemandu lori memandu dengan keadaan merbahaya dan mendatangkan risiko keselamatan kepada mereka.

-- BERNAMA