BISNES
Boeing buka pejabat di KL, sokong aspirasi aeroangkasa Malaysia

Pejabat baharu Boeing di tengah-tengah Kuala Lumpur bakal berfungsi sebagai hab penting dalam mengukuhkan sokongan pelanggan, keselamatan penerbangan, kelestarian dan rantaian bekalan syarikat aeroangkasa itu di Malaysia. - Foto FB Boeing
KUALA LUMPUR: Pejabat baharu Boeing di tengah-tengah Kuala Lumpur bakal berfungsi sebagai hab penting dalam mengukuhkan sokongan pelanggan, keselamatan penerbangan, kelestarian dan rantaian bekalan syarikat aeroangkasa itu di Malaysia, kata Presidennya Penny Burtt.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikat berbesar hati menyokong aspirasi negara untuk menjadi titik tumpuan utama aeroangkasa di rantau ini.
Katanya, ia seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 sambil menyifatkan negara ini satu daripada pasaran penerbangan terbesar di Asia-Pasifik.
"Pembukaan pejabat korporat baharu Boeing yang diperluas di Kuala Lumpur mencerminkan komitmen mendalam syarikat terhadap kerajaan Malaysia, kakitangan, pelanggan dan rakan kerjasama kami di negara ini," katanya.Majlis perasmian pejabat korporat syarikat penerbangan gergasi itu di Menara Hap Seng 3 di sini hari ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong.
Turut hadir pada majlis itu Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), Shamsul Kamar Abu Samah.
Dalam ucapan pembukaannya, Liew berkata pejabat baharu ini merupakan bukti komitmen Boeing terhadap Malaysia sebagai sebahagian daripada perjalanan aeroangkasa negara.
"Perjalanan Boeing bersama Malaysia berlangsung lebih 70 tahun, bermula dengan penghantaran pesawat Douglas DC-3 pada 1947.
"Sejak itu, Boeing memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan industri penerbangan dan aeroangkasa negara," katanya.
Menurut Liew, setakat ini, lebih daripada 140 pesawat Boeing dihantar kepada syarikat penerbangan Malaysia termasuk lebih 100 pesawat Boeing 737 kepada Malaysia Airlines.
"Malaysia Aviation Group (MAG) juga menyatakan hasratnya untuk membeli 30 pesawat Boeing 737 MAX 8 serta pilihan untuk memperoleh 30 lagi.
"Ini memberikan peluang kepada Boeing dan Malaysia untuk bekerjasama dalam fasa seterusnya pembangunan aeroangkasa daripada pengembangan rantaian bekalan tempatan kepada peningkatan kemahiran bakat dan kepimpinan dalam kelestarian," katanya.
Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menyenaraikan aeroangkasa sebagai sektor keutamaan bagi memacu inovasi, memperdalam kerumitan ekonomi selain mencapai aspirasi sifar karbon.
Inisiatif untuk industri aeroangkasa di bawah NIMP 2030 diterajui Perbadanan Industri Aeroangkasa Malaysia iaitu agensi utama pelaksanaannya.
Dalam pada itu, Liew berkata kehadiran Boeing di Malaysia bukan sekadar mengenai penjualan pesawat kerana syarikat itu juga menubuhkan kemudahan pembuatan milik penuh tunggalnya di Asia Tenggara iaitu di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
"Dengan tenaga kerja hampir 1,000 rakyat Malaysia, Boeing Composites Malaysia mempunyai rekod cemerlang dalam menghasilkan komponen komposit untuk program 737, 767, 777 dan 787 iaitu menyumbang secara langsung kepada rangkaian pengeluaran global Boeing," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami