JAS serbu tapak pelupusan haram susulan gangguan bau hangit di Johor bahru

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menyerbu sebuah tapak pelupusan sampah haram di Jalan Kempas Lama malam tadi, susulan aduan gangguan bau hangit di beberapa kawasan di daerah ini sejak 22 Dis lepas. - Foto Facebook JAS
JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menyerbu sebuah tapak pelupusan sampah haram di Jalan Kempas Lama di sini malam tadi, susulan aduan gangguan bau hangit di beberapa kawasan di daerah ini sejak 22 Dis lepas.
JAS menerusi hantaran di Facebook memaklumkan serbuan itu yang dilakukan oleh pasukan penguat kuasa hasil maklumat disalurkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon, mendapati terdapat kesan aktiviti pembakaran terbuka di lokasi berkenaan.
"Bagaimanapun, semasa pemeriksaan dilakukan tiada bau abnormal dikesan berpunca daripada aktiviti pembakaran tersebut pada waktu berkenaan," menurut hantaran itu.
Menurut JAS, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan siasatan susulan akan terus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Dalam perkembangan berkaitan, JAS memaklumkan dua pasukan penguat kuasa digerakkan bagi menjalankan pemantauan intensif untuk mengesan punca bau di beberapa kawasan perindustrian dan laluan utama di sini, bermula 9 malam hingga 3 pagi tadi.
Ia melibatkan Jalan Seelong Jaya 2 hingga Jalan Seelong 15, Kawasan Perindustrian Taman Berjaya, Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kawasan Perindustrian Kempas Utama, Kawasan Perindustrian Tebrau 1, serta Jalan Kempas Lama dan Jalan Bukit Kempas Lama.
JAS menjelaskan, kebanyakan lokasi berkenaan tidak merekodkan sebarang bau luar biasa, kecuali di Kawasan Perindustrian Maju Jaya dan Jalan Kempas Lama yang dikesan sisa bau hangit.
Pemantauan turut diperluaskan ke kawasan perumahan meliputi Bandar Dato' Onn, Bandar Setia Tropika, Kampung Maju Jaya, Taman Impian Emas, Taman Tampoi Indah dan Taman Perling.
"Berdasarkan cerapan di lokasi perumahan tersebut, tiada sebarang bau abnormal dikesan sepanjang tempoh pemantauan dijalankan," menurut hantaran itu.
Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya menyalurkan sebarang aduan berkaitan pencemaran alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel ke [email protected] atau menerusi portal aduan di https://eaduan.doe.gov.my.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


