Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Tahanan rumah Najib: AGC nafi ingkar titah pengampunan, mahu kepastian undang-undang

Jabatan Peguam Negara berpandangan persoalan berhubung status hukuman penjara Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International perlu dirujuk segera kepada Mahkamah bagi mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas.
Jabatan Peguam Negara berpandangan persoalan berhubung status hukuman penjara Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International perlu dirujuk segera kepada Mahkamah bagi mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas.

Ringkasan AI

  • Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan tidak pernah mempertikaikan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan mahu pelaksanaannya selaras undang-undang.
  • AGC berpandangan persoalan status hukuman penjara Najib dalam kes SRC International perlu dirujuk segera kepada mahkamah untuk penentuan dan arahan jelas.
  • Penjelasan undang-undang penting bagi mengelak percanggahan pelaksanaan hukuman, termasuk kesan terhadap tarikh permulaan hukuman dalam kes 1MDB.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya tidak pernah mempertikaikan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya mahu memastikan pelaksanaannya selaras dengan undang-undang.

Sehubungan itu, AGC berpandangan persoalan berhubung status hukuman penjara Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International perlu dirujuk segera kepada mahkamah bagi mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas.

"AGC sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan Baginda sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement

"Tanggungjawab untuk memastikan sesuatu titah pengampunan dilaksanakan dengan tepat, selaras dengan perintah mahkamah yang berkuat kuasa, merupakan sebahagian daripada usaha menjunjung institusi Yang di-Pertuan Agong dan kedaulatan undang-undang.

"Bukannya suatu tindakan mengingkari titah Baginda," ujar kenyataan itu, pada Sabtu.

Advertisement

Tambah AGC, penjelasan undang-undang diperlukan susulan pembayaran denda RM50 juta oleh bekas Perdana Menteri itu pada 6 November 2026, selain pengeluaran Perintah Pelepasan (Order of Discharge on Payment of Fine) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh sama.

Menurut AGC, persoalan utama adalah sama ada perintah pelepasan itu hanya berkaitan pembayaran denda dan membolehkan baki hukuman penjara kes SRC diteruskan melalui tahanan di rumah, atau membawa kesan bahawa hukuman berkenaan telah selesai dari segi undang-undang.

“Persoalan berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026 wajar dirujuk dengan segera kepada mahkamah untuk mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas,” menurut kenyataan itu.

AGC menjelaskan, perkara tersebut mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditetapkan bermula selepas hukuman kes SRC International selesai dijalani.

Malah, AGC berpandangan sekiranya hukuman SRC masih berkuat kuasa, baki hukuman berkenaan perlu dilaksanakan selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.

Bagaimanapun, jika hukuman itu telah selesai dari segi undang-undang, kesannya terhadap tarikh permulaan hukuman dalam kes 1MDB perlu ditentukan oleh Mahkamah.

AGC turut menegaskan penentuan segera itu penting bagi memelihara hak Najib sendiri, memandangkan penerusan tahanan sekiranya hukuman SRC telah selesai boleh menyebabkan beliau menjalani tahanan melebihi tempoh yang sepatutnya.

“Langkah ini bukan bertujuan melengahkan atau menggagalkan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat, sebaliknya untuk mengelakkan percanggahan dalam pelaksanaan perintah-perintah yang berkuat kuasa serta memastikan bahawa tiada hukuman dilaksanakan secara tidak sah,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Istana Negara dalam satu kenyataan menegaskan sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Must Watch Video

Advertisement