MELAKA: Penglibatan aktif dua juruterbang yang terkorban nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, 17 Ogos lepas dalam persatuan pengakap mendapat pengiktirafan apabila diberikan Pingat Anugerah Presiden oleh Persekutuan Pengakap Malaysia.

Penganugerahan pingat dan sijil kepada Allahyarham Kapten Heikal Aras Abdul Azim dan Allahyarham Kapten Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam merangkap Presiden Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka.

Penganugerahan itu satu kejutan buat keluarga Allahyarham Kapten Heikal Aras yang tidak menduga arwah masih aktif dalam badan beruniform tersebut malah merupakan Pesuruhjaya Ibu Pejabat Negeri Melaka (Program Pengakap Udara).

Adik kepada Allahyarham, Hasany Aras, 42, berkata beliau dan keluarga terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada Persekutuan Pengakap Malaysia dan memintanya mewakili Allahyarham menerima anugerah tersebut.

"Memang langsung tak duga. Setahu kami, abang saya memang sertai pengakap pada zaman sekolah rendah tetapi sejauh mana arwah aktif, memang kami semua tidak tahu.

"Jadi ini mungkin satu daripada bakti arwah sepanjang menyertai pengakap udara dan kumpulan kecilnya bersama rakan penerbangan dalam melakukan kerja-kerja kebajikan" katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka dan Sijil Pengakap Raja di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Zaini Abd Ghani, 56, pula berkata beliau sebak apabila diberi penghormatan mewakili rakannya, Allahyarham Mohamad Naim Fawwaz menerima anugerah itu.

Mengenali Mohamad Naim Fawwaz sejak 15 tahun lepas, Mohd Zaini berkata arwah merupakan seorang yang ringan tulang dan pernah menerbangkan pesawat membawa Mohd Ali dari Segamat, Johor ke Melaka bagi satu program yang dianjurkan oleh pengakap udara.

"Kami memang rapat malah saya anggap arwah seperti adik sendiri. Kami banyak berkongsi idea, sama ada berkaitan aktiviti pengakap atau penerbangan memandangkan arwah memang aktif dalam pengakap sejak sekolah.

"Walaupun menjadi juruterbang di luar negara dan sibuk dengan aktiviti harian, arwah tetap aktif dalam pengakap udara malah masih berkongsi idea dan pengalaman dengan ahli pengakap udara di sini," katanya.

Terdahulu, seramai 25 tokoh menerima Anugerah Gemilang Presiden manakala 44 individu menerima Anugerah Presiden dan 26 ahli Pengakap Remaja menerima Anugerah Sijil Pengakap Raja.

-- BERNAMA