KUALA LUMPUR : Hasil siasatan pihak polis mengesahkan kematian pelakon sambilan Syazlin Zainal, 26, adalah kerana jatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru.

"Pada 10 November 2022, lebih kurang jam 12.50 tengah hari, pihak polis telah menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan menemui mayat seorang wanita di bahagian bawah sebuah pangsapuri di kawasan Taman Iskandar, Johor Bahru.

"Hasil siasatan polis mendapati si mati merupakan wanita warga tempatan berusia 26 tahun, bekerja sebagai pelakon sambilan.

"Sebab kematian adalah akibat jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru," kata kenyataan itu yang ditandatangani Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat.

Bagaimanapun, menurut kenyataan berkenaan, polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Pihak Polis IPD Johor Bahru Selatan memohon orang ramai yang melihat kejadian ini untuk tampil memberi maklumat di Balai Polis Taman Pelangi atau boleh berhubung dengan pegawai penyiasat iaitu ASP Mat Nawi Bin AB Rahman di talian 016-505 0808.



Berita pemergian Syazlin mengejutkan ramai pihak termasuk rakan-rakan dan peminat. Dalam pada itu, akaun Instagram kelab peminat arwah memaklumkan akan memadam akaun itu.

Syazlin pernah membintangi beberapa drama tempatan antaranya Sitik Tok, Dia Yang Ku Jadikan Suami dan beberapa lagi.

Allahyarham merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik dan anak perempuan tunggal dalam keluarganya.