Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa biarpun pemimpin datang dan pergi, namun kesetiaan ahli UMNO perlu terus berpaksikan kepada parti.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata ini kerana jawatan dalam parti hanyalah bersifat sementara.

"Keberadaan kita di posisi sama ada peringkat cawangan, bahagian, negeri apatah lagi di peringkat nasional adalah merupakan kesementaraan. Semua jawatan adalah berbentuk sementara.

"Biarpun kita telah berkhidmat berbakti 40 tahun tapi janganlah apabila panas setahun hujan sehari., katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya di sini malam ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata masalah dalam UMNO sama ada dalam organisasi atau kepimpinan adalah lumrah parti politik yang mempunyai kedinamikan.

"Ketaatsetiaan dan kesetiakawanan ahli UMNO perlu bersandarkan kepada UMNO walau sesiapapun yang memimpin."

"Walaupun pemimpin datang dan pergi, ketaatan, kesetiaan sesiapa pun yang memimpin UMNO tetap utuh sebagai parti orang Melayu," ujarnya.

Tambah Ahmad Zahid, adalah lumrah untuk seorang pemimpin diuji bagi melihat sejauh mana tahap daya saing dan daya tahan mereka.

"Pemimpin diuji dan kini Presiden UMNO sedang diuji. Ujian pernah dilalui pemimpin lain dalam bentuk berbeza," katanya.

Beliau juga berkata walaupun tidak salah untuk anggota UMNO mempunyai perbezaan pendapat, namun ia perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan ketertiban.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata UMNO sejak penubuhannya pada 1946 telah berdepan pelbagai pergolakan termasuk krisis kepimpinan pada 1951 apabila pengasas parti ketika itu, Datuk Onn Jaafar bercadang membuka pintu kepada orang bukan Melayu.

"Kalau kita imbau kembali bagaimana kita hadapi masalah sehingga pada 1998 apabila UMNO diharamkan dan melahirkan Semangat 46 yang merupakan serpihan UMNO."

"Jadi kita lihat cabaran sememangnya sentiasa berlaku dan ini adalah putaran hayat politik UMNO."

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga anggota Parlimen Putrajaya.