KUALA LUMPUR: Izzana Salleh bukan sahaja layak malah lebih daripada layak untuk menduduki jawatan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), kata Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, pelantikan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan itu berdasarkan merit dan Izzana merupakan seorang wanita yang berkelulusan tinggi serta mempunyai pengalaman tersendiri.

Menurut Annuar, Kementerian Komunikasi dan Multimedia yakin Izzana mampu memberikan sumbangan dan mewakili suara wanita dalam syarikat yang penting seperti MDEC.

“Dari segi kelayakan, jelas beliau layak malah lebih daripada layak dan saya nak jelaskan, jawatan yang dilantik oleh Kementerian Kewangan ini adalah bukan eksekutif.

“Ini bermakna bukannya dia perlu ada pada setiap masa buat kerja di situ. Dia adalah sebagai Pengarah Bukan Eksekutif yang hadir dalam mesyuarat. Beliau tidak ada untuk melakukan operasi harian.

“Seseorang yang duduk dalam banyak syarikat sebagai pengarah tidak menjadi masalah tapi ini adalah Ahli Lembaga Bukan Eksekutif,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dibangkitkan Kasthuri Patto (PH - Batu Kawan) yang bertanyakan rasional di sebalik pelantikan Izzana atau nama sebenarnya Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh ke dalam jawatan tinggi dalam MDEC.

Dalam pada itu, Annuar berkata, adalah tidak adil untuk mengaitkan Izzana dengan kes melibatkan keluarganya.

“Kalau kita sebagai ibu bapa, kalau menghadapi masalah, kita tidak mahu anak-anak kita yang muda ditekan sedangkan beliau mempunyai merit tertentu.

“Pelantikan beliau adalah berasaskan kepada merit beliau sendiri. Beliau adalah seorang wanita muda yang mempunyai kelulusan yang baik. Beliau harus diberi peluang dan jawatan beliau adalah Pengarah Bukan Eksekutif,” ujar Annuar lagi.

Untuk rekod, Izzana dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MDEC berkuat kuasa 1 Disember lepas.

Pelantikan Izanna menjadi pertikaian memandangkan beliau merupakan anak kepada bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga bekas Ketua Wanita UMNO.

Kerajaan Malaysia sebelum ini menuntut semula hutang RM253.6 juta daripada National Feedlot Corporation (NFC) dengan Izzana sebagai Ahli Lembaga Pengarah ketika itu dan juga antara defendan kes tersebut.