Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh, Tan Sri Hasnah dilantik pengerusi

Menurut Azalina, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik sebagai pengerusi manakala Datuk Lim Thean Shiang sebagai timbalan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian sebagai badan penasihat strategik tertinggi bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara, selaras penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang bermula semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah di bawah peruntukan Seksyen 5 akta berkenaan.
"Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian akan berfungsi sebagai badan penasihat strategik tertinggi yang memandu hala tuju keselamatan dalam talian, termasuk memantau serta memberikan syor mengenai keselamatan kandungan dalam talian," katanya dalam kenyataan.
Azalina berkata jawatankuasa itu tidak hanya memainkan peranan pentadbiran sebaliknya melaksanakan fungsi substantif merangkumi pemberian nasihat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung pengelasan kandungan memudaratkan dan kandungan prioriti seperti penganiayaan seksual kanak-kanak serta penipuan kewangan.
Beliau berkata jawatankuasa turut bertanggungjawab menentukan kaedah analisis risiko dan strategi mitigasi bagi melindungi pengguna daripada kemudaratan dalam talian, menilai keberkesanan mekanisme aduan serta memantau penguatkuasaan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang.
Selain itu, Azalina berkata jawatankuasa akan melaksanakan penyelidikan teknikal dan analisis pakar terhadap trend baharu jenayah siber termasuk penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan teknologi pemalsuan wajah (deepfake).
Beliau berkata sembilan ahli jawatankuasa daripada pelbagai latar belakang kepakaran merangkumi sektor awam, swasta dan masyarakat sivil dilantik bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028.
Menurut Azalina, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik sebagai pengerusi manakala Datuk Lim Thean Shiang sebagai timbalan.
Ahli jawatankuasa lain terdiri daripada Barhoum Abe Abed yang mewakili Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Berlesen (ASP), Mohd Kasyful Azim Ab Rahman sebagai wakil Pemberi Perkhidmatan Rangkaian Berlesen (NSP) serta Dr Ruzimi Mohamed sebagai wakil golongan orang kurang upaya.
Turut dilantik Datuk Zurkarnain Mohd Yasin, Thiyagu Ganesan, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Wathshlah Naidu, yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran berkaitan keselamatan dalam talian.
Azalina turut menegaskan Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan hak kebebasan bersuara terus dihormati, namun tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan rakyat, khususnya perlindungan golongan rentan daripada kemudaratan dalam talian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


