KUALA LUMPUR: Kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 tidak dilihat sebagaii ancaman kepada kedudukan badan Eksekutif, malah boleh menjadi pengimbang dalam kerajaan mengurus tadbir negara.

Jelas ahli jawatankuasanya Datuk Mohd Asri Zainal Abidin, ia dianggotai oleh individu-individu prolifik dan berpengalaman dari pelbagai latar belakang yang membuat penilaian menyeluruh untuk kepentingan negara di masa genting ini.

“Dengan tuntutan-tuntutan yang dibuat jawatankuasa ini akan menyebabkan apa-apa yang nak dicadangkan atau diputuskan di bawah kuasa-kuasa darurat yang mungkin agak ada kelebihan yang lebih luas atau lebih longgar daripada ikatan peraturan yang ada sebelum ini.

“Saya tak lihat ia menjadi ancaman kepada kerajaan bahkan jika kerajaan menghormati apa yang ditubuhkan ini, ia akan menjadi satu kredit yang baik kepada urus tadbir yang berkesan dan bagus bagi kerajaan sedia ada,” katanya.

Maklum beliau, semua kementerian dan segala yang terbabit akan datang memberi taklimat yang diperlukan dan mereka akan disoal jawab, ditanya, diminta maklumat, ditanya balas, diminta fakta dan pelbagai lagi untuk dinilai dan disampaikan cadangan tindakan seterusnya kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Ahli-ahli jawatankuasa bebas yang dilantik bukan sahaja daripada pegawai tinggi kerajaan malah dari kalangan Ahli Parlimen yang mewakili pelbagai parti politik, yang pastinya turut akan membawa isu masing-masing untuk dipertimbangkan bersama.

Jelas Mohd Asri, di bawah gerak kerja jawatankuasa bebas ini, ia membolehkan kerajaan bekerja dengan lebih mudah.

“Ordinan-ordinan yang diperlukan dan mendesak boleh dibuat dalam masa yang singkat tanpa perlu dibawa ke Parlimen yang tentunya akan didebatkan dan melalui bermacam proses yang panjang.

"Walaupun diperuntukkan bahawa jawatankuasa perlu bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan, mereka kini sudah mula menjalankan mesyuarat sebanyak dua kali dalam tempoh tersebut," ujarnya.

Tambahnya, mereka turut mengambil kira pelbagai input untuk dibincangkan bersama apa gerak kerja seterusnya bagi mencadangkan sama ada darurat akan boleh ditamatkan lebih awal atau perlu diteruskan sehingga tarikh yang ditetapkan pada 1 Ogos ini, tertakluk kepada keputusan Yang Di-Pertuan Agong.


Kelebihan gerak kerja Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021