IPOH: Wakil dari pemimpin kerajaan dan pembangkang akan terlibat dalam jawatankuasa khas bagi menentukan status rumah ibadat di dalam gua di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bagi mengelakkan perkara atau isu itu dipolitikkan oleh pihak tertentu.

"Jawatankuasa itu akan ada wakil daripada kerajaan dan pembangkang kerana kita mahu mengelakkan daripada ianya dipolitikkan.

"Ini bukan isu politik, jadi tidak mengapalah kita panggil MCA, MIC, DAP, PKR.

"Kita akan panggil jabatan teknikal dan pengusaha kuil untuk duduk berbincang kerana kita perlu mencari jalan penyelesaian segera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Kampung Klebang Tambahan sempena Program Mesra di sini pada Ahad.

Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan ketua-ketua jabatan.

Dalam pada itu, katanya pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sedang menunggu senarai nama ahli jawatankuasa daripada pengusaha kuil.

"Kita sudah menghubungi pihak PTG minggu lalu,apabila nama itu dapat, sudah tentu kita akan menyediakan jawatankuasa daripada pihak kerajaan negeri untuk duduk bersama dengan mereka bagi melihat bagaimana kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ini," jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan negeri Perak menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu rumah ibadat yang dibina di dalam kawasan gua.

BACA: Jawatankuasa khas tentukan status rumah ibadat dalam gua - MB Perak

Ia ekoran pengeluaran notis terhadap 14 pengusaha rumah ibadat dalam kawasan gua di atas tanah kerajaan sekitar Mukim Sungai Raya dan Mukim Hulu Kinta.

Terdahulu, dalam lawatan itu, Saarani meninjau kawasan di Kampung Klebang Tambahan dan mendengar sendiri keluhan penduduk setempat yang sering berdepan dengan masalah banjir di situ.