MALAYSIA
Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan bersidang buat kali pertama

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan berlangsung di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya, pada Jumaat. - Foto KPM
KUALA LUMPUR: Langkah memperkukuh keselamatan di institusi pendidikan negara kini memasuki fasa pelaksanaan apabila Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan bersidang buat kali pertama di Putrajaya semalam.
Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini berperanan merangka pelan tindakan menyeluruh bagi menangani isu keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta warga institusi pendidikan.
Mesyuarat pertama ini menjadi titik tolak kepada usaha reformasi yang lebih sistematik dan inklusif, dengan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar kesihatan, wakil ibu bapa, pihak polis dan komuniti Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS).
Mesyuarat tersebut turut menetapkan hala tuju serta pelan tindakan komprehensif yang akan dilaksanakan secara berperingkat, selaras dengan komitmen KPM untuk menjadikan institusi pendidikan sebagai tempat yang selamat dan kondusif.
KPM dalam kenyataannya menegaskan, keselamatan murid dan warga pendidikan adalah keutamaan, dan usaha ini akan diteruskan dengan pemantauan serta penambahbaikan berterusan.
Antara ahli jawatankuasa yang terlibat ialah:
* Pesuruhjaya Kanak-kanak Malaysia SUHAKAM Dr Farah Nini Dusuki
* Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin
* Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim
* Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon
* Pengamal perubatan dan pempengaruh kesihatan Dr Malar Santhi Santherasegapan,
Turut hadir, wakil dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan UNICEF.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami