Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini menggugurkan pendakwaan ke atas pengurus kedai buku Borders, Nik Raina Nik Abdul Aziz berhubung penjualan buku karya Irshad Manji.

Menurut laporan Malaysian Insider, Peguam Nik Raina, Rosli Jahan mengesahkan pihaknya telah menerima surat pengguguran pendakwaan terhadap Nik Raina bertarikh 11 Mei lalu.

“Surat tersebut diterima bertarikh 11 Mei dan ditandatangani oleh Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain," kata Rosli.

Keputusan Jawi itu dibuat sebelum tamat tempoh seminggu yang diberikan oleh peguam Nik Raina kepada Jawi agar menggugurkan rayuan mencabar keputusan mahkamah membebaskan Nik Raina atau berhadapan dengan tindakan menghina mahkamah.

Sebelum ini, Nik Raina, 38, ditahan pada 30 Mei 2012 dan didakwa di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana 'menyebar dan mengedar' dengan kaedah menjual buku itu yang dikatakan telah dilarang dan diharamkan penjualannya oleh pihak berkuasa .

Beliau didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada 19 Jun 2012 dan pada 22 Mac tahun lalu Mahkamah Tinggi membuka peluang perbicaraan semula kepada Berjaya Books Sdn Bhd, pemilik kedai buku Borders Malaysia.

BACA 'Jawi, tolong lepaskan saya dari penindasan ini' - Nik Raina

BACA Saya dianiaya pihak berkuasa, jadi mangsa keadaan - Nik Raina

Bagaimanapun, pada 30 Disember lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa serbuan dan rampasan buku Irshad Manji oleh Jawi di kedai buku Borders tidak sah di sisi undang-undang kerana dibuat tanpa sebarang pengumuman larangan atau pengharaman oleh pihak kementerian.

Namun pada 12 Mac lalu, Jawi mengambil keputusan untuk menghantar notis rayuan terhadap keputusan berkenaan kepada Mahkamah Rayuan Syariah sehinggalah keputusan Jawi untuk menggugurkan notis terbabit.