NATIONAL
JBPM bakal terima 16 anjing pengesan baharu dari UK

Nor Hisham Mohammad ketika bertemu pengamal media pada majlis Jalinan Mesra Aidilfitri di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, semalam. - Foto Bernama
SEREMBAN: Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menerima 16 anjing baharu dari United Kingdom (UK) pada tahun ini berjumlah RM2.4 juta, kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.
Ringkasan AI
- JBPM akan menerima 16 anjing baharu dari UK bernilai RM2.4 juta bagi memantapkan tugasan pasukan, menggantikan separuh daripada anjing sedia ada yang telah melebihi umur maksimum operasi.
- Anjing yang diperoleh termasuk baka English Springer Spaniel dan Labrador Retriever yang sesuai dengan cuaca Malaysia, akan dilatih untuk empat disiplin khas seperti Penyelamat Hutan dan Kebakaran.
- JBPM juga akan menerima 30 enjin jentera baharu bernilai RM45 juta dalam tempoh enam bulan untuk menggantikan enjin lama demi memastikan kecemerlangan operasi.
"Mereka akan latih dulu, lepas itu daripada 20 itu, mereka akan kurangkan kepada jumlah yang kita nak iaitu 16 ekor. Kalau ada anak anjing yang dipilih itu tidak sesuai pada masa itu, mereka akan cari lain. Jadi, dalam tiga bulan itulah proses yang akan berlaku," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri JBPM Negeri Sembilan di Pekarangan Ibu Pejabat JBPM Negeri Sembilan yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini malam tadi.
Beliau berkata anjing berkenaan termasuk baka English Springer Spaniel dan Labrador Retriever, yang didapati lebih sesuai dengan cuaca di Malaysia selain mempunyai disiplin khas yang lebih berkesan.
Nor Hisham berkata terdapat empat disiplin khas diberi keutamaan kepada anjing K9 iaitu Anjing Penyelamat Hutan atau Luar Bandar, Anjing Kebakaran, Anjing Penyelamat Mayat Dalam Air dan Anjing Penyelamat Bandar USAR.
"Insya-Allah kalau tiada aral melintang, anjing yang kita beli 16 ekor ini sebahagiannya akan kita guna untuk latihan di Malaysia dan kita akan buat secara dalaman bersama Genting World Berhad untuk latihan bagi disiplin lain pula," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 30 enjin jentera baharu bernilai RM45 juta akan diterima dalam tempoh enam bulan akan datang bagi menggantikan enjin lama menerusi proses lupus dan tukar melalui syarikat yang dilantik.
Nor Hisham berkata penggantian aset baharu itu nanti diharap dapat memberikan kecemerlangan kepada pasukan dan sentiasa berada pada tahap terbaik setiap masa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami