Skip to main content

Malaysia

JBPM Kelantan siap siaga aset, anggota hadapi Super El Nino

Farhan Sufyan berkata pihaknya menerima 1,904 panggilan berkaitan kebakaran terbuka setakat ini berbanding 375 panggilan pada 2025, dengan peningkatan ketara berlaku pada Mac dan April. - Gambar fail
Farhan Sufyan berkata pihaknya menerima 1,904 panggilan berkaitan kebakaran terbuka setakat ini berbanding 375 panggilan pada 2025, dengan peningkatan ketara berlaku pada Mac dan April. - Gambar fail

Advertisement

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memperkukuh kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku bulan depan hingga awal 2027.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata keadaan cuaca yang lebih panas dan kering itu khususnya ketika peralihan Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya berkemungkinan meningkatkan risiko kebakaran terbuka di samping menyebabkan paras air sungai, kolam dan tasik menyusut.

Beliau berkata kesiapsiagaan pihaknya meliputi aset dan sumber manusia, termasuk menyediakan 33 jentera dan 10 tangki air untuk operasi pemadaman dengan kekuatan 633 anggota serta dibantu 220 anggota bomba bantuan.

“Kita risau semasa tempoh peralihan monsun itu kerana biasanya keadaan kering dan suhu di Kelantan dijangka tinggi manakala sumber air juga berkurangan maka tumpuan diberikan kepada kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kebakaran terbuka termasuk Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Farhan Sufyan berkata pihaknya menerima 1,904 panggilan berkaitan kebakaran terbuka setakat ini berbanding 375 panggilan pada 2025, dengan peningkatan ketara berlaku pada Mac dan April.

Beliau berkata antara punca kebakaran terbuka dikenal pasti ialah pembakaran sampah dan bagi pembukaan tanah serta kebakaran kawasan tanah gambut, khususnya di Pasir Mas dan Bachok, yang memerlukan tempoh pemadaman lebih lama serta bergantung kepada keadaan paras air.

“Pembakaran terbuka mungkin dianggap cara paling murah dan berkesan untuk membersihkan atau membuka tanah, tetapi sekiranya tidak dikawal, api boleh merebak dan memberi kesan lain termasuk jerebu.

“Pada tahun ini, Kelantan menjadi negeri kedua tertinggi bagi kes kebakaran terbuka. Kita lebih risau keadaan pada awal tahun hadapan sekiranya fenomena ini (Super El Nino) benar-benar berlaku dan langkah pencegahan tidak dilaksanakan dari awal,” katanya.

Farhan Sufyan berkata masyarakat diminta mengambil langkah pencegahan awal dengan tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka untuk mengurangkan risiko kekurangan sumber air dan api tidak terkawal hingga menyukarkan operasi pemadaman.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement