Skip to main content

Malaysia

JBPM keluar arahan pentadbiran langkah penjimatan bahan api

KOTA BHARU, 8 Jan -- Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ahmad Izram Osman (tengah) bercakap pada sidang media selepas Program 'Sumbangan Kebajikan' Persatuan Kebajikan dengan kerjasama Biro Kebajikan Perisma JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjung hari ini._BERNAMA
Ahmad Izram (tengah) bercakap pada sidang media selepas Program 'Sumbangan Kebajikan' Persatuan Kebajikan dengan kerjasama Biro Kebajikan Perisma JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjung hari ini. - Gambar Bernama

BUTTERWORTH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan arahan pentadbiran bagi pelaksanaan langkah-langkah penjimatan dan penggunaan bahan api di jabatan itu susulan krisis tenaga global, yang memberi kesan terhadap petrol serta diesel.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata menerusi arahan tersebut, pihaknya menetapkan beberapa pendekatan bagi memastikan penggunaan bahan api dapat dioptimumkan tanpa menjejaskan kecekapan operasi jabatan.

Advertisement

“Antara langkah ialah penugasan jentera berasakan keperluan, mekanisme kongsi kenderaan, menyusun mesyuarat secara terjadual dan mengoptimumkan mesyuarat secara dalam talian, namun JBPM tetap mengutamakan dari segi keselamatan dan kecemasan, tiada kompromi untuk tujuan tersebut.

“Tetapi kita akan mengurangkan dan mengoptimumkan penggunaan kenderaan utiliti seperti van dan kenderaan untuk kerja-kerja lain ini yang kita kawal, namun yang utama tugas bomba kita mengutamakan keselamatan nyawa dan harta benda,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 JBPM Pulau Pinang.

Sementara itu, Ahmad Izram berkata JBPM Pulau Pinang merekodkan sebanyak 11 kes panggilan palsu sejak awal tahun hingga Mac, yang telah memberi kesan kepada kecekapan operasi selain turut membazir sumber kewangan negara.

Beliau berkata setiap panggilan yang diterima akan dianggap sebagai kecemasan sebenar dan pasukan akan digerakkan segera ke lokasi walaupun akhirnya didapati ia hanya panggilan palsu.

“Perbuatan ini amat merugikan kerana ia bukan sahaja melibatkan kos operasi yang tinggi, malah boleh menjejaskan tindak balas terhadap kejadian sebenar yang mungkin berlaku serentak dan berisiko mengancam nyawa.

“Sepanjang tempoh sama sebanyak 2,434 panggilan kecemasan direkodkan di Pulau Pinang melibatkan 1,360 kes kebakaran, penyelamatan (927 kes) dan 136 tugas khas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 546 kes kebakaran belukar direkodkan diikuti 121 kes kebakaran hutan dan kebakaran melibatkan kebun atau ladang sebanyak 10 kes dicatatkan sejak Januari, berikutan cuaca panas.

Ahmad Izram berkata kejadian kebakaran terbuka tersebut menunjukkan trend membimbangkan ketika itu, namun ia dijangka beransur pulih berikutan taburan hujan yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini di beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

-- BERNAMA

Must Watch Video