PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memohon pemanjangan bayaran elaun kepada anggotanya yang bertugas secara syif 12 jam dan 24 jam, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata permohonan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhimatan Awam (JPA) sebagai susulan daripada kelulusan pemanjangan bayaran elaun kemahiran khas kepada pegawai yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) baru-baru ini.

"BIB (Bayaran Insentif Bomba) ini memang sudah wujud, cuma kita (JBPM) dari semasa ke semasa akan memohon dengan JPA untuk pemanjangan termasuk kepada anggota yang bekerja secara syif.

"Kelayakan adalah anggota terbabit perlu bekerja sama ada secara syif 12 jam atau 24 jam," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Jalinan Mesra Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sempena Sambutan Aidilfitri 2022 di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini telah mengumumkan kelulusan permohonan pemanjangan bayaran elaun kemahiran khas kepada 114 pegawai bomba Gred KB19 hingga KB38, yang bertugas sebagai jurulatih serta tenaga pengajar di lima ABPM iaitu di Kuala Kubu Bharu di Selangor, Wakaf Tapai (Terengganu), Ipoh (Perak), Sabah dan Sarawak.

Mohammad Hamdan berkata kelulusan tersebut melibatkan implikasi kewangan antara RM200,000 dan RM300,000, melibatkan bayaran Insentif Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) RM30 bagi setiap operasi (maksimum RM600 sebulan) dan Insentif Penyelamat di Air sebanyak RM30 bagi setiap operasi (maksimum RM600 sebulan).

Mengenai kesiapsiagaan anggota dalam membantu mangsa banjir di tiga negeri terjejas ketika ini iaitu Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, beliau berkata ia berada pada tahap optimum.

Sehingga kini, anggota-anggota di negeri terbabit telah menjalankan 179 operasi menyelamat termasuk misi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan aset seperti jentera, bot, dron dan helikopter.

"Dron dan helikopter akan digunakan untuk tujuan pemantauan secara intensif di kawasan hotspot," katanya.

Dengan kaedah tersebut, Mohammad Hamdan berkata pihaknya dapat menyalurkan maklumat yang tepat mengenai situasi bencana banjir kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

-- BERNAMA