KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sejumlah 1,595 panggilan kecemasan, bagi kes lemas untuk tempoh lima tahun mulai 2018 hingga 2022.

Ketua Seksyen Perakuan Keselamatan Bangunan Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Nordin Pauzi berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,341 panggilan kecemasan merupakan kes lemas yang menyebabkan kematian.

Beliau berkata jika dilihat secara purata dalam setahun, JBPM merekodkan sebanyak 268 kes lemas.

"Angka ini sangat besar kalau dalam sebulan purata kes pula boleh dikatakan sebanyak 23 kes, iaitu kira-kira satu kes sehari dan ini berdasarkan statistik.

"Berdasarkan statistik ini juga, golongan lelaki mempunyai peratusan tertinggi, iaitu lebih kurang 89 peratus yang terlibat dalam insiden lemas sehingga menyebabkan kematian," katanya pada program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Sementara itu, mengenai sambutan Hari Pecegahan Lemas Sedunia 2023 pada hari ini, Nordin berkata sambutan itu bagi memperingati kepentingan pencegahan tragedi lemas dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Beliau berkata sambutan itu juga, perlu dihayati oleh pihak-pihak berkuasa yang bertanggungjawab termasuk juga pemain industri, seperti pihak pengurusan hotel yang mempunyai kolam dan taman tema air.

"Ambil peluang pada hari ini untuk semak semula prosedur operasi standard, untuk lihat semula peralatan-peralatan keselamatan. Sekurang-kurangnya kita ada satu hari untuk kita berhati-hati atau mengawasi perkara-perkara berkaitan keselamatan di air," katanya.

-- BERNAMA