Johor Darul Ta'zim (JDT) muncul juara Liga Super 2019 sekali gus melakar sejarah bola sepak tanah air sebagai satu-satunya pasukan memenangi gelaran itu buat kali keenam berturut-turut selepas menundukkan Melaka 2-1, malam tadi.

Kejayaan anak buah ketua jurulatih Benjamin Mora di Stadium Hang Jebat itu membolehkan JDT mengumpul 46 mata dan menamatkan perebutan takhta lebih awal dengan baki empat perlawanan liga.

Lebih manis, kejayaan bersejarah skuad 'Harimau Selatan' malam tadi dilengkapi rekod bersih tanpa kalah selepas merakamkan 14 kemenangan dalam 18 perlawanan.

Pencabar terdekat, Pahang yang mengumpul 30 mata selepas 17 aksi setakat ini terpaksa akur apabila tidak lagi mampu mencabar meskipun meraih mata penuh dalam baki lima perlawanan mereka musim ini.

Pada aksi malam tadi, dua gol JDT dijaringkan Muhamad Nazmi Faiz Mansor seawal minit ketujuh sebelum penyerang import, Diogo Luis Santo menampilkan kemahiran mengawal bola yang baik untuk mencetak jaringan ke-10 peribadinya musim ini pada minit ke-27.