ISKANDAR PUTERI: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) melancarkan jersi baharu bagi saingan Liga Super 2024-2025 dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah, di sini semalam.

Skuad Harimau Selatan itu masih mengekalkan jenama Nike sebagai pengeluar jersi pasukan yang didatangkan dengan dua rekaan iaitu jersi berwarna biru dan merah untuk beraksi di gelanggang keramat mereka manakala jersi berwarna putih untuk perlawanan di gelanggang lawan.

"JDT sentiasa komited dalam menampilkan reka bentuk jersi baharu yang istimewa khas buat penyokong yang mana jersi tuan rumah bagi musim kali ini terus mengekalkan warna tradisi bendera Johor iaitu merah dan biru.

"Selain itu, ia tampil dengan warna biru sebagai warna utama, diselangi jalur berwarna merah di bahagian hadapan dan belakang, serta kolar bulat dan terdapat jalur merah pada bahagian hujung lengan," kata kelab itu dalam kenyataan dimuat naik di laman sosial Johor Southern Tigers.

Sementara itu, jersi perlawanan di gelanggang lawan kekal dengan warna putih sebagai warna utama di samping terdapat jalur merah pada bahagian lengan dan leher jersi.

"Ini adalah tahun ke-10 kerjasama Nike dengan Harimau Selatan sejak 2014. Jersi ini adalah lambang legasi kejayaan sedekad dominasi serta prestij jenama di antara kedua-dua pihak," kata Nike pada majlis pelancaran yang turut dimeriahkan dengan kehadiran penyokong pasukan itu.

Menurut kenyataan itu, tambahan ciri unik yang membezakan dengan jersi terdahulu adalah nama Harimau Selatan di bahagian dalam belakang jersi tersebut.

Jersi perlawanan di gelanggang lawan kekal dengan warna putih sebagai warna utama di samping terdapat jalur merah pada bahagian lengan dan leher jersi. - Facebook Johor Southern Tigers

"Jersi baharu pada musim ini juga masih mengekalkan konsep rekaan berteknologi tinggi iaitu "Nike DriFit". Pengenalan jersi baharu tersebut dilancarkan menerusi sebuah video berdurasi 2 minit 10 saat mengenai pasukan JDT yang bukan sekadar sebuah kelab bola sepak, bahkan sebagai ejen penyatuan rakyat yang berkongsi minat dan rasa cinta yang sama.

Platform aplikasi Socios.com yang telah menjalin kerjasama dengan JDT sejak September 2022 kekal menghiasi ruang tengah bahagian depan jersi tersebut.

Para penyokong boleh mendapatkan jersi tersebut di stor dalam talian JDT (JDT Online Store) atau pun pembelian secara "walk-in" di JDT Direct Megastore di Stadium Sultan Ibrahim.

Harga bagi kedua-dua jersi “Home” “Away” serta jersi khas penyokong wanita boleh didapati pada harga RM299 sehelai sehingga saiz 3XL. 

-- BERNAMA